Dewan Rakyat lulus tiga rang undang-undang perkasa JKDM

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-undang Eksais (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-undang Zon Bebas (Pindaan) 2020.
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-undang Eksais (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-undang Zon Bebas (Pindaan) 2020.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-undang Eksais (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-undang Zon Bebas (Pindaan) 2020.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abd Rahim Bakri ketika membentangkan pindaan terhadap Akta Kastam 1967 untuk bacaan kali kedua berkata, ia bertujuan menambah baik, menyeragam dan mengemas kini peruntukan sedia ada dengan memasukkan peruntukan baharu supaya perundangan cukai lebih telus, efisien dan selari dengan perubahan semasa polisi percukaian.

Beliau berkata, pindaan itu juga merupakan usaha berterusan dalam memperkasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk memastikan pematuhan cukai dan mengurangkan ketirisan hasil cukai kerajaan.

"Pindaan turut dilaksanakan bagi menambah baik peruntukan tertentu berkaitan kuasa pegawai kastam untuk mengurus tahanan reman, serta kuasa pegawai kastam menjalankan proses sitaan dan siasatan kes dengan lebih cepat.

Pindaan terhadap Akta Eksais 1976 pula adalah susulan daripada pindaan terhadap Akta Kastam 1967.

Pindaan terhadap kedua-dua rang undang-undang itu antara lain bagi mengadakan peruntukan kebolehpercayaan keterangan ejen provokasi dan kebolehterimaan sebagai keterangan dalam mahkamah.

Menurut Abd Rahim, dengan pindaan itu, JKDM tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada maklumat oleh pemberi maklumat.

Dalam pada itu, Rang Undang-undang Zon Bebas (Pindaan) 2020 turut diluluskan Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Abd Rahim berkata, rang undang-undang berkenaan adalah untuk meminda Akta Zon Bebas 1990.

Ia antaranya bagi memperuntukkan kuasa tambahan kepada pegawai kanan JKDM untuk menjalankan penguatkuasaan penyiasatan dan pemeriksaan sebagaimana kuasa polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah.

Sidang dewan bersambung esok. - Bernama