Lima nelayan Thailand ditahan bersama bot

Lima nelayan Thailand ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah dalam Ops Aman sekitar empat batu nautika dari pesisir pantai barat Yan, awal pagi tadi.
Lima nelayan Thailand ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah dalam Ops Aman sekitar empat batu nautika dari pesisir pantai barat Yan, awal pagi tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan lima nelayan Thailand dengan sebuah bot pukat tunda tempatan kelas C dalam Ops Aman sekitar empat batu nautika dari pesisir pantai barat Yan, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, lima nelayan termasuk seorang tekong berusia antara 31 hingga 63 tahun itu ditahan dalam rondaan operasi sekitar jam 5.30 pagi, tadi.

Katanya, pihaknya turut merampas bot bersama hasil tangkapan dianggarkan seberat 1.5 tan dan di bawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah, di sini,untuk tindakan selanjutnya.

"Melalui siasatan, bot nelayan itu didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menunda kurang 15 batu nautika dari pesisir pantai.

“Bagi kesalahan itu, mereka akan didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua nelayan terbabit turut didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Malaysia.

Katanya, bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 pula, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah Mahmad Faizal, kesemua nelayan warga asing yang ditahan tersebut telah menjalani ujian saringan Covid-19 mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya, pengusaha bot nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukkan.

Menurut Mahmad Faizal, pihak Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

Sebarang aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.