Tujuh individu disyaki kendali judi online ditahan

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan tujuh individu disyaki terbabit dalam kegiatan judi dalam talian menerusi satu serbuan yang dilakukan di sebuah pangsapuri di Senibong, di sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, semua suspek warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 22 tahun itu ditahan selepas 'pusat panggilan' mereka diserbu pada jam 2.30 petang.

Katanya, dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 15 telefon bimbit, satu kad akses rumah, tujuh buah komputer riba, tujuh tetikus, empat modem wifi, 11 keping simkad Starhub, tiga meja dan tujuh kerusi, dipercayai digunakan untuk kegiatan pertaruhan dan promosi judi dalam talian.

"Sindiket ini dipercayai beroperasi selama 12 jam sehari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dan mereka ditawarkan gaji sebanyak RM2,000 sebulan selain dibayar komisen, bergantung kepada keuntungan daripada hasil perjudian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Padzli memberitahu, semakan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

Semua suspek kini direman selama sehari untuk siasatan kes di bawah Seksyen (4)(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 dan hendaklah dikenakan penjara maksimum tiga tahun. - Bernama

Artikel Berkaitan: