176 kertas siasatan salah laku pegawai, anggota PDRM Kedah

Syed Basri (kiri) melakukan serah tugas kepada Ketua Polis Daerah Baling yang baharu, Superintendan Shamsudin Mamat sambil disaksikan Hasanuddin (dua kiri).
Syed Basri (kiri) melakukan serah tugas kepada Ketua Polis Daerah Baling yang baharu, Superintendan Shamsudin Mamat sambil disaksikan Hasanuddin (dua kiri).
A
A
A

BALING - Sebanyak 176 kertas siasatan dibuka membabitkan pelbagai salah laku pegawai, anggota dan kakitangan awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah antara Januari hingga November 2020.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, antara salah laku yang dikenakan termasuklah membabitkan kes rasuah, dadah dan tindakan tatatertib.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 82 kes telah selesai disiasat termasuk yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) atas sebab tiada bukti kukuh.

"Pemantauan, penyeliaan, teguran dan pemeriksaan secara harian dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) manakala di peringkat daerah dipantau Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS).

"Selain itu, kita juga ada Skim Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) yang saya sendiri akan pantau," katanya ketika hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Baling dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Daerah Baling di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, kumpulan SKDD dianggotai lima ahli dan diketuai seorang penyelia yang akan menyediakan laporan berhubung sebarang salah laku sekiranya ada ke dalam sistem elektronik E-SKDD.

Katanya, mana-mana anggota atau pegawai perkhidmatan yang melakukan kesalahan tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan termasuk undang-undang dan tatatertib.

"Andai kata, ada perbuatan salah laku dilakukan oleh mana-mana pegawai atau anggota, kertas siasatan akan dibuka.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga sekiranya terdapat tohmahan, siasatan juga dibuat dari sudut tatatertib manakala kesalahan membabitkan jenayah, sudah tentu laporan polis akan dibuat.

"Jadi kita sentiasa peka dan tidak akan memaafkan terhadap mereka yang melawan arus atau bertentangan dengan prosedur sedia ada," katanya.

Terdahulu, Hasanuddin menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Baling melibatkan Superintendan Syed Basri Syed Ali kepada Superintendan Shamsudin Mamat.

Shamsudin sebelum ini merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda manakala Syed Basri akan meneruskan perkhidmatan di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Turut dilakukan, penyerahan tugas Pengerusi Perkep IPD Baling melibatkan Syinta Firza Ahmad Fauzi kepada Manisah Mahmood.