Bantuan RM1.5 juta untuk penternak ikan air tawar Batang Ai

Ahmad Hamzah.
Ahmad Hamzah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penternak ikan air tawar di Batang Ai, Sarawak telah menerima bantuan geran berbentuk barangan (IKC) berjumlah RM1.5 juta tahun ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Beliau berkata, bantuan itu melibatkan agihan kepada seramai 75 daripada 130 penternak.

Menurutnya, ia menjadi sebahagian usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) membantu pengusaha ikan air tawar yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan sentiasa prihatin untuk menangani masalah penternakan ikan air tawar di Empangan Batang Ai dan juga di seluruh negara.

"Antara usaha MAFI bagi membantu golongan ini adalah Program Sistem Penyampaian Khidmat Sokongan (SPEKS) iaitu bantuan secara IKC seperti benih dan makanan ikan secara percuma iaitu sekali (one-off) bagi setiap penternak dengan nilai maksimum sebanyak RM20,000 (untuk Sarawak).

“Secara purata benih ikan yang diedarkan oleh kerajaan kepada penternak adalah sebanyak 5,000 ekor untuk setiap peserta bergantung kepada bilangan benih sedia ada di pusat berkenaan bagi membantu penternak mengembangkan hasil pengeluaran mereka,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Jugah Anak Muyang@Tambat (Bebas-Lubok Antu) berhubung perancangan masa kini yang akan dilaksanakan kerajaan bagi menangani masalah penternakan ikan air tawar di Empangan Batang Ai yang terjejas akibat Covid-19.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, MAFI juga mengadakan program taklimat kesedaran dan bimbingan pensijilan myGAP (Akuakultur) kepada pengusaha hatceri/penternak akuakultur melalui penyediaan bantuan naik taraf fasiliti dan pemberian bekalan input (benih dan makanan ikan) dengan nilai maksimum sebanyak RM200,000.

Artikel Berkaitan:

“Turut dilaksanakan adalah mempelbagaikan platform pemasaran secara dalam talian (e-commerce) seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp bagi meningkatkan akses kepada lebih ramai pembeli,” katanya.