Penstrukturan JKM: 1,500 pegawai perlu ditambah

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menambah 1,500 orang pegawai pelindung kanak-kanak, pegawai psikologi dan pegawai kebajikan sekiranya benar-benar serius dalam melakukan penstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, rancangan penstrukturan semula JKM menerusi pertambahan 8,000 kakitangan kontrak dilihat tidak mencerminkan keperluan sebenar jabatan itu khususnya sewaktu di lapangan.

Beliau berkata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun diingatkan agar tidak sesekali mengisi kekosongan jawatan kontrak berkenaan sebagaimana pelantikan sukarelawan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang dibayar elaun sebelum ini.

"Jangan jadikan JKM sebagai cabang politiknya. Kerja kebajikan sosial tidak sama dengan kerja politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Rina memaklumkan kementeriannya akan menambah 8,000 perjawatan kontrak di JKM bermula awal tahun depan dalam usaha menstrukturkan semula jabatan itu bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia lebih-lebih lagi semasa krisis pandemik Covid-19 ketika ini.

Mengulas lanjut, Hannah yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggesa agar Rina membuktikan komitmennya dalam menjayakan usaha penstrukturan semula itu menerusi pembentangan Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial.

"Ini bukan persoalan latihan sukarelawan politik, ini melibatkan nyawa kanak-kanak yang sedang dipertaruhkan," katanya.

Artikel Berkaitan: