Ibu bapa, guru gagal respons punca anak terjebak pornografi

Mohd Fadli Othman - FOTO: ROSLI TALIB
Mohd Fadli Othman - FOTO: ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan ibu bapa atau guru untuk memberi respons kepada soalan anak atau murid berkaitan pendidikan seksualiti boleh menyebabkan mereka terjerumus ke kancah pornografi.

Sekretariat Bimbingan Fitrah Insani, Mohd Fadli Othman berkata, apabila anak-anak atau murid-murid ini tidak mendapat jawapan, mereka akan terus membuat pencarian sendiri bagi memuaskan hati mereka.

Beliau berkata, mereka akan mula bertanya dengan kawan-kawan kemudiannya membuat carian di internet.

"Seperti kita maklum, kalau carian di internet sudah tentu 'sheikh google' tidak akan membawa mereka ke jalan yang benar.

"Bayangkan jika anak-anak 'google' untuk cari maksud bersetubuh, macam-macam gambar akan keluar dan akhirnya ia akan membawa mereka pergi kepada pornografi," katanya pada Wacana al-Quran bertajuk Ketagih Pornografi: Apa Ubatnya? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf, di sini semalam.

Turut menjadi panelis, Penceramah Bebas, Dr Nur Mohammad Hadi, sementara Fazrul Ismail selaku moderator dan ditemani Qari Malaysia, Ustaz Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan bacaan surah al-Nur ayat 30-31.

Mohd Fadli berkata, terdapat salah satu kajian di luar negara mengenai pornografi, seramai 1,272 individu dikenal pasti menonton pornografi, 64 peratus terjebak berpunca daripada kawan-kawan, 72 peratus mula terjebak pada umur 11 tahun dan 13 peratus lagi dikesan menonton pornografi antara empat ke lima kali seminggu.

Katanya, dapatan kajian itu menunjukkan perkara ini amat serius dan disebabkan itu sangat penting untuk ibu bapa atau guru mengetahui cara bagaimana untuk mereka memberi respons secara tepat kepada pertanyaan anak-anak ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ibu bapa khususnya apabila mengetahui pendidikan seksualiti ini ada dalam silibus pelajaran anak-anak di sekolah, jadi mereka perlu lebih cakna.

"Ibu bapa dan guru juga perlu tahu bagaimana hendak melengkapkan kognitif dalam elemen pendidikan seksualiti itu sebagai satu keperluan dan kepentingan kepada mereka.

"Malah pemikiran taboo bahawa pendidikan seksualiti adalah pendidikan untuk ajar anak berjimak atau melakukan aktiviti persetubuhan/fizikal perlu dibuang kerana ALLAH sudah aturkan dalam al-Quran bahawa terdapat lima elemen pendidikan seksual iaitu kognitif, fizikal, emosi, sosial dan spiritual," katanya.

Jelasnya, melalui elemen kognitif ALLAH menyarankan umat Islam untuk membaca, manakala aspek fizikal lebih kepada tentang kejantinaan, alat sulit, sentuhan tubuh badan.

"Dalam surah al-Nur ayat 31, ALLAH menceritakan bagaimana hendak mengendalikan emosi dan seterusnya berkaitan elemen sosial paling jelas disebut tentang siapa boleh tengok aurat kita, dengan siapa boleh bersama, dengan siapa boleh berpakaian begini dan sebagainya.

"Begitu juga dengan aspek spiritual ia menjadi indikator dalam diri seseorang Muslim dan kalau dilepaskan akan menyebabkan terjerumus dalam pornografi," katanya.