Masa untuk Malaysia memandang ke depan

Tahun 2020 hakikatnya sangat mencabar buat Malaysia, bukan setakat gelombang pandemik Covid-19, bahkan gelora politik yang tidak berpenghujung.
Tahun 2020 hakikatnya sangat mencabar buat Malaysia, bukan setakat gelombang pandemik Covid-19, bahkan gelora politik yang tidak berpenghujung.
A
A
A

PETANG semalam, selepas lebih sebulan ahli Parlimen dan pemimpin politik negara bersilat serta bergasak di Dewan Rakyat, debaran mengenai Belanjawan 2021 sudah pun berakhir.

Drama panjang yang turut dikejutkan dengan tumbangnya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menambahkan lagi kejutan politik negara pada penghujung tahun ini.

Bahkan, di saat angin kencang mengenai surat akuan bersumpah (SD) 113 ahli Parlimen kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali hebat diperkatakan, tiba-tiba dua tokoh veteran negara yang diketahui pernah berseteru muncul untuk bergabung.

Gerakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah agak ‘misteri’ kerana mereka menolak kedua-duanya, baik Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Anwar.

Bahkan mereka meramalkan kerajaan Muhyiddin yang dirujuk sebagai tidak mempunyai legitimasi bakal tumbang menerusi penolakan Belanjawan 2021.

Namun, pengaruh Dr Mahathir dan Ku Li nampaknya tidak dapat menggugat kerajaan PN walaupun pada satu sudut lain mereka mungkin berjaya menyekat Anwar dalam misi ke Putrajaya.

Bagaimanapun, dengan lulusnya Belanjawan 2021, walaupun hanya dibezakan dengan tiga undi, mungkin itu adalah titik tolak kepada semua pemimpin untuk memandang ke depan.

Tiga undi yang sangat tipis hakikatnya satu isyarat kurang meyakinkan terutama di mata pelabur. Gara-gara ribut politik, semalam sahaja Kuala Lumpur Stock Exchange susut 21 mata.

Artikel Berkaitan:

Sudah tiba masanya pemimpin politik di negara ini menghayati titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya semua pemimpin melaksanakan sebaiknya amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin yang dipilih rakyat.

Tahun 2020 hakikatnya sangat mencabar buat Malaysia, bukan setakat gelombang pandemik Covid-19, bahkan gelora politik yang tidak berpenghujung.

Semoga tahun 2021, segala ribut politik sudah berkurangan. Apalah guna bertempik dan me-laung untuk rakyat, sedangkan hakikatnya ahli politik sibuk dengan agenda sendiri.