Cabaran getir menanti pada tahun 2021

Rakyat berharap dapat menyaksikan cerita gembira pada tahun 2021.
Rakyat berharap dapat menyaksikan cerita gembira pada tahun 2021.
A
A
A

SIAPA sangka tahun 2020 yang pernah dijadikan tahun bagi pencapaian negara dalam gagasan Wawasan 2020 yang disebut menjadi tema negara dan dorongan untuk melonjak negara kepada sebuah negara maju bertaraf dunia, rupa-rupanya lain pula jalan ceritanya.

Cerita pada sepanjang tahun ini benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam. Hanya tinggal dua minggu lagi sebelum melangkah ke tahun baharu, 2021.

Nampaknya, banyak cerita yang masih belum nampak pengakhirannya di Malaysia. Daripada kisah pandemik Covid-19, begitu jugalah soal politik. Rakyat berharap dapat menyaksikan cerita gembira pada tahun 2021.

Jangkaan ramai pihak bahawa tahun 2021 menjadi tahun paling mencabar perlu menjadi ingatan kepada semua rakyat.

Jika hari ini kita masih ada kerja, mungkin 2021 kita bakal hilang kerja. Kalau ada wang simpanan, mungkin menyusut selepas ini. Jika tinggal di rumah sendiri, mungkin nanti tinggal menyewa dan ada pelbagai lagi kemungkinan yang memerlukan kita bersedia daripada sekarang.

Kira-kira lapan juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas pendapatan dan dibenarkan membuat permohonan pengeluaran simpanan akaun satu di bawah program i-Sinar bermula pada 21 Disember ini kena beringat. Wang caruman itu pastinya memberi nafas lega buat yang hilang kerja, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan disebabkan ujian Covid-19.

Talian hayat itu dalam keadaan hari ini sememangnya sangat-sangat dinantikan terutama untuk menghadapi situasi kecemasan dan kesukaran. Namun kepada pencarum yang layak, jangan pula berjoli dengan wang tersebut. Kita tidak pasti lagi hari-hari mendatang kerana dibimbangi cabaran lebih getir pada tahun hadapan.

Tertekan

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan sejak 18 Mac sehingga 30 Oktober lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh Malaysia bagi mengekang penularan Covid-19.

Bebanan hutang yang tinggi selepas hilang pekerjaan dan masalah keluarga menjadi punca utama seseorang nekad meragut nyawanya sendiri ketika negara dilanda Covid-19. Maklumat itu sekali gus menunjukkan kehidupan ketika ini sangat tertekan.

Ketika ramai rakyat yang berkecamuk memikirkan apa nasib mereka pada tahun depan, drama politik negara juga masih belum berkesudahan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, “Kita akan mengakhiri tahun 2020 dengan tiada pencapaian penting, apatah lagi lonjakan baharu untuk kemajuan dan kebolehsaingan.”

Menurutnya, Malaysia pada tahun 2020 menyaksikan pelbagai drama politik yang terus menyuramkan lagi iklim pelaburan. Pandemik Covid-19 terus meletakkan ekonomi Malaysia pada kemelesetan terparah dalam sejarah.

“Negara jiran seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Kemboja terus menunjukkan pencapaian ekonomi yang berdaya saing, menarik pelaburan teknologi dan menjadi negara perindustrian penting. Singapura pula memecut laju meninggalkan Malaysia jauh ke belakang.

“Sesuatu mesti dilakukan segera. Kelesuan iklim pelaburan kita tidak boleh berterusan begini. Malaysia bermula dengan ekonomi perindustrian berorentasikan eksport,” kata Mohamad.

Beliau berkata, sehingga kini rakyat Malaysia tidak melihat sesuatu yang meyakinkan menjelang terbitnya fajar 2021. Semoga semua itu akan segera berubah kerana Malaysia sebelum ini adalah jauh lebih dinamik.

Hakikatnya hari ini adalah soal kehidupan rakyat. Itu yang perlu difikirkan oleh pemimpin hari ini. Bagaimana agaknya rakyat akan mendepani cabaran pada hari depan, ditambah dengan karenah dalam politik yang tak habis-habis.

Tahun ini rakyat sudah melaluinya. Ia agak menyakitkan bagi kebanyakan orang. Rakyat mengharapkan cerita pada tahun 2021 lebih manis. Ibarat buah durian, tajam di luar tetapi isinya manis. Permulaannya memang menyakitkan tetapi pengakhirannya tidak mengecewakan. Jadi cukup-cukuplah.

* Syamilah Zulkifli adalah wartawan Sinar Harian Edisi Negeri Sembilan