Arab Saudi banteras rasuah besar-besaran

Imej dirakamkan pada tahun 2017 menunjukkan ruang lobi hotel mewah Ritz-Carlton di Riyadh, Arab Saudi yang menjadi tempat tahanan hampir 400 tokoh ternama negara itu kerana disyaki terlibat dengan rasuah. - Foto AFP
Imej dirakamkan pada tahun 2017 menunjukkan ruang lobi hotel mewah Ritz-Carlton di Riyadh, Arab Saudi yang menjadi tempat tahanan hampir 400 tokoh ternama negara itu kerana disyaki terlibat dengan rasuah. - Foto AFP
A
A
A

GERAKAN antirasuah yang digerakkan kerajaan Arab Saudi kini telah mencetukan rasa takut dalam kalangan para pelaku keji tersebut sejak operasi Ritz mini dilancarkan pada tahun 2017.

Menurut portal berita cnbc, negara beraja itu telah terlibat dalam siasatan bagi menangani gejala rasuah sejak sekian lama tetapi operasi Ritz mini di Riyadh mendapat perhatian yang meluas.

Ini kerana dalam serbuan memerangi rasuah di hotel mewah lima bintang, Ritz-Carlton itu, hampir 400 tokoh ternama termasuk berpuluh-puluh puteri, putera, menteri-menteri dan juga ahli perniagaan terkenal ditangkap pada November 2017 oleh pihak berkuasa.

Pada Rabu 30 Januari 2019, Mahkamah Diraja Arab Saudi menyatakan negara tersebut telah mendapat semula lebih AS$107 bilion (RM434.31 bilion) dalam bentuk wang tunai, hartanah dan lain-lain aset ekoran operasi memerangi rasuah itu.

Ia diperoleh selepas puteri, putera, menteri-menteri dan ahli perniagaan itu ditahan selama beberapa minggu di hotel berkenaan dan bersetuju dengan penyelesaian kewangan dengan pihak berkuasa dilakukan sebelum mereka dibebaskan.

Hotel Ritz-Carlton juga dikatakan menjadi sebuah 'penjara' apabila puteri-puteri diraja dan ahli perniagaan dikunci di dalam bilik masing-masing ketika pihak berkuasa melaksanakan serbuan antirasuah tersebut.

Antara yang ditahan ialah pelabur terkenal Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal yang juga salah seorang lelaki terkaya di negara tersebut dan bekas ketua Pasukan Pengawal Kebangsaan, Putera Mutaib Al-Saud.

Kempen bagi memerangi rasuah itu dilakukan ketika Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman menjadi pengerusi sebuah jawatankuasa rasuah di negara beraja itu yang ketika kejadian, baginda hanya berusia 32 tahun.

Artikel Berkaitan:

Kira-kira 200 tokoh ternama mendapat liputan media kerana disyaki terlibat dalam rasuah, urusan jualan senjata, pengubahan wang haram, mengelak cukai malah terlibat dalam parti seks mewah manakala lebih 2,000 akaun bank didakwa telah dibekukan.

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman berusaha menangani gejala rasuah di negaranya selepas memegang jawatan pengerusi sebuah jawatankuasa rasuah pada usia yang muda. - Foto AFP
Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman berusaha menangani gejala rasuah di negaranya selepas memegang jawatan pengerusi sebuah jawatankuasa rasuah pada usia yang muda. - Foto AFP

Ketika diwawancara oleh saluran berita CBS, Putera Mohammed memberitahu serbuan itu bukanlah mengenai wang tetapi adalah untuk menghukum si perasuah dan menghantar petunjuk jelas bahawa sesiapa yang terlibat dengan rasuah mereka akan berdepan dengan undang-undang.

Dalam pada itu, menurut laman web Projek Laporan Rasuah dan Jenayah Terancang (OCCRP) pada 30 November lalu, seramai 226 orang ditangkap dalam minggu-minggu akhir bulan November tahun ini, kebanyakannya ialah pegawai swasta dan awam sebagai sebahagian daripada kempen untuk menangani rasuah di Arab Saudi.

Pihak Berkuasa Pemantauan dan Antirasuah Arab Saudi (Nazaha) pernah berkata, kebanyakan siasatan makan suap itu mendapati suspek-suspek terlibat dalam pemalsuan, membazirkan dana awam dan mengeksploitasi pengaruh pejabat awam.

Seorang pengarah kualiti alam sekitar sebuah pihak berkuasa sebuah majlis perbandaran tempatan dan dua saudara kandungnya pula dituduh membantu seorang kontraktor memenangi sejumlah projek bernilai AS$453 juta (RM1.8 bilion).

Dalam satu lagi kes pula, seorang bekas pegawai tentera berpangkat mejar jeneral menerima rasuah AS$2.18 juta (RM8.85 juta) dalam bentuk cek dan wang tunai daripada tiga pekerja sebuah syarikat yang memenangi kontrak dengan Kementerian Pengawal Kebangsaan.

Walaupun usaha itu dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi, terdapat banyak tafsiran dibuat berhubung gerakan memerangi rasuah itu.

Seorang kolumnis Washington Post, David Ignatius menyatakan pada Julai lalu di akhbar berkenaan seperti dilaporkan oleh AFP bahawa negara beraja tersebut sedang menyiapkan dakwaan rasuah dan tidak setia terhadap bekas Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Nayaf Al Saud iaitu anak saudara pemerintah Raja Arab Saudi kini, Raja Salman bin Abdulaziz.

Bekas Putera Mahkota yang berumur 61 tahun itu telah ditahan sejak Mac lalu dan pihak berkuasa Arab Saudi tidak membuat kenyataan tentang sebab-sebab anggota kerabat diraja tersebut ditahan.

Komander bersama tentera perikatan diketuai Arab Saudi yang menentang puak pemberontak Houthi di Yemen, Putera Fahad bin Turki dan anak lelakinya, Abdulaziz bin Fahad, Timbalan Emir wilayah Al-Jouf turut dipecat lewat Ogos lalu dan disiasat kerana terlibat dalam rasuah.

Namun, usaha memerangi rasuah itu telah menimbulkan kebimbangan pertubuhan hak asasi antarabangsa iaitu Human Rights Watch yang memberi amaran pada tahun ini tentang prosiding undang-undang yang dilakukan mungkin tidak adil dalam sistem kehakiman negara tersebut.

Menurut AFP, terdapat juga spekulasi sama ada tindakan menghapuskan rasuah itu bertujuan untuk menambahkan perbendaharaan negara ketika pendapatan ekonomi semakin merosot.

Gambar fail menunjukkan sebuah kilang penapisan minyak di Abqaiq, Arab Saudi. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah kilang penapisan minyak di Abqaiq, Arab Saudi. - Foto AFP

Kemerosotan itu adalah disebabkan harga minyak yang rendah dan pandemik Covid-19 melanda dunia.

Bagaimanapun, memerangi rasuah itu merupakan antara matlamat Putera Mahkota dan ia bertepatan dengan visi Arab Saudi 2030 bagi mengelakkan penggantungan negara itu kepada sumber minyak.

Lagi pun, korupsi adalah jenayah yang merentasi sempadan.

Putera Muhammad pernah mencatatkan nama sebagai Menteri Pertahanan paling muda di dunia apabila dilantik memegang jawatan itu ketika berumur 29 tahun selepas ayahandanya, Raja Salman bin Abdulaziz yang kini berusia 84 tahun menjadi Raja Arab Saudi menggantikan abangnya, Raja Abdullah berikutan kemangkatan baginda pada tahun 2015.

Seperti kata seorang wartawan Arab Saudi kepada laman web OCCRP bahawa Putera Mohammed yang kini berusia 35 tahun mahu menunjukkan minat peribadinya bagi memerangi rasuah di peringkat tertinggi di negaranya selepas dilantik menjadi Putera Mahkota menggantikan Putera Mohammed bin Nayaf pada tahun 2017. - Agensi