Peluang teruskan agenda nasional sehingga PRU15

Muhyiddin (dua dari kanan) mengaminkan doa dibaca oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (empat dari kiri) selepas undi belah bahagian Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Muhyiddin (dua dari kanan) mengaminkan doa dibaca oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (empat dari kiri) selepas undi belah bahagian Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bernasib baik melepasi undian Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 selepas bacaan kali ketiga melalui undian belah bahagian pada Selasa.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, perkembangan terbaharu itu menyaksikan majoriti ahli Parlimen masih menyokong kerajaan PN.

Beliau berkata, walaupun hanya dengan kelebihan tiga undi, majoriti ahli Parlimen masih memberi peluang kepada kerajaan PN untuk meneruskan agenda nasional sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Syed Agil Alsagoff
Syed Agil Alsagoff

Menurutnya, kerajaan PN juga bernasib baik melepasi undian belanjawan kali ketiga itu disebabkan komitmen prokerajaan untuk melihat kelestarian Belanjawan 2021 dapat direalisasikan.

“Bagaimanapun, perkembangan ini jelas menunjukkan kerajaan PN harus berwaspada dan berhati-hati dalam berbelanja atau membuat dasar yang berupaya mengembalikan semula prestasi sosial dan ekonomi negara.

“PN juga tidak boleh menjadikan politik sebagai isu penghalang untuk mencapai hasrat rakyat memulihkan taraf kehidupan mereka yang terjejas pada masa ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Di samping itu, beliau berkata, kerajaan PN perlu melakukan anjakan paradigma lebih berkesan untuk memastikan kestabilan politik dan keseimbangan ekonomi rakyat dan negara dapat terus dipelihara.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga melihat ia menunjukkan isyarat jelas bahawa kepimpinan PN harus berjaga-jaga agar tidak terjerumus dalam isu-isu kurang popular yang boleh mengakibatkan gagasan kerajaan PN tumbang,” katanya.

Syed Agil berkata, beliau optimis bahawa kerajaan PN berupaya untuk terus mendapat kepercayaan tersebut sekiranya mereka lebih berhati-hati dalam soal ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2021 lulus di Dewan Rakyat

Pembangkang gagal tumbangkan kerajaan PN