X

Kindly register in order to view this article
!

Siapa kata rezekimu hanya di situ?

A
A

BANYAK bisnes gulung tikar akibat Covid-19. Ramai warga kerja daripada pelbagai bisnes yang terjejas diberhentikan kerja. Mereka terpaksa mencari peluang lain untuk sesuap nasi.

Ada cerita juruterbang membuka kafe, jurutera membuka kebun dan pengurus menjual pelitup muka. Seorang kenalan saya yang mempunyai syarikat pengurus acara kini menjadi peraih dan penjual ikan.

Manusia apabila terpaksa atau dipaksa keadaan akan segera bertindak untuk mengadaptasikan dirinya demi survival.

Dalam dunia yang sentiasa berubah, apa yang tidak pasti kian cepat berubah. Dahulu kita berasakan disruptive technology begitu mengganggu gugat manusia dalam zon selesanya. Ternyata Covid-19 lebih menghuru-hara dan melumpuhkan cara hidup kita secara keseluruhannya.

Manusia perlukan kerja. Hasil kerja akan menghasilkan upah. Dengan upah, manusia akan dapat hidup berkeluarga, makan minum, memperoleh tempat tinggal dan mengumpul harta untuk kesenangan dunia. Begitulah yang diterapkan dalam minda kita oleh ibu bapa, guru, pemerintah dan pemimpin.

“Belajarlah rajin-rajin. Bila dah besar, dapat masuk universiti. Lepas itu dapat kerja yang bergaji besar, nanti boleh hidup senang.” Begitulah lebih kurang skrip belajar dan berkerjaya yang kita selalu dengar.

Hampir kesemua daripada kita menganut fahaman bahawa belajar hingga ke universiti akan menjamin kerja bergaji besar dan akan dapat hidup senang.

Maka, sejak kecil lagi kita digalakkan untuk mempunyai cita-cita dari segi kerjaya. Untuk mencapai cita-cita itu, maka kita akan memilih subjek-subjek yang akan memudahkan kita memasuki aliran dan bidang yang dicita-citakan. Ia menjadi ikrar peribadi.

Sebab itulah ada pelajar yang monyok kerana tidak dapat memasuki aliran sains yang menjadi pilihannya. Dunia terasa gelap kerana pihak sekolah memilihnya ke aliran sastera.

Sekali lagi apabila terpilih melanjutkan pelajaran di universiti, dia murung kerana tidak dapat memasuki bidang pilihannya. Malah, ada yang sanggup berhenti belajar. Hal itu berterusan apabila seseorang itu menolak apa-apa tawaran pekerjaan semata-mata kerana ia tiada kena mengena dalam bidang pelajaran yang diikutinya di kampus.

Petanda

Namun, katakanlah seseorang yang bercita-cita menjadi seorang saintis dan dapat memasuki aliran sains, melanjutkan pelajaran di universiti sains hingga peringkat kedoktoran dan dapat menjadi seorang saintis. Akibat Covid-19, dia diberhentikan kerja dan terpaksa menjual nasi lemak untuk menyambung hidup. Ke manakah perginya cita-cita asal yang terpahat dalam mindanya sejak kecil?

Buat mereka yang terpaksa meninggalkan kerjaya atas sebab apa sekali pun dan beralih kepada kerjaya baharu yang tidak pernah mereka fikir atau cuba sebelum ini, itulah petanda bahawa rezeki mereka dalam bidang diceburi selama ini telah tamat. Justeru, mereka harus beralih mendapatkan rezeki melalui bidang lain.

Persoalannya, adakah kita sedar bahawa kita tidak pernah tahu rezeki kita ada di mana? Benar, kita akan mendapat kelulusan dan kerjaya dalam bidang yang kita kejar, namun adakah sesiapa yang boleh menyatakan rezekinya akan datang dalam bidang yang diceburi?

Apabila kita akui bahawa rezeki kita di tangan Tuhan, mengapa sebahagian besar daripada kita mensekalikan kerjaya dan rezeki?

Kerjaya dan rezeki adalah dua perkara berbeza. Seseorang itu boleh berjaya dalam kerjayanya tetapi di kemudian hari, dia tidak berasa bahagia dengan apa yang dilakukan. Itu adalah masalah kerjaya, bukan soal rezeki.

Buat kita yang mendapati payah hidupnya dalam mengharungi bidang yang diceburi, ketahuilah bahawa kita perlu beralih arah dan menceburi bidang yang lain. Mengapa masih bermati-matian mempertahankan kerja yang dilakukannya? Siapa kata rezeki kita hanya di situ?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!