Nasib 'si keldai ketum', jadi mangsa eksploitasi penyeludup

Pak Lah menjadi keldai ketum sejak 10 tahun lepas setelah hilang punca pendapatan akibat salah sebuah ladang Felcra di negeri ini, ditanam semula (Program Tanam Semula 2014). - Foto Bernama
Pak Lah menjadi keldai ketum sejak 10 tahun lepas setelah hilang punca pendapatan akibat salah sebuah ladang Felcra di negeri ini, ditanam semula (Program Tanam Semula 2014). - Foto Bernama
A
A
A

PADANG BESAR - Upah tidak seberapa, sering kali ditahan polis, bimbang keselamatan keluarga dan terpaksa membayar denda yang tinggi, itulah antara risiko ‘kerjaya’ sebagai ‘si keldai ketum', yang menyebabkan ramai dalam kalangan mereka mula beralih mencari pekerjaan halal.

Keldai ketum merujuk kepada individu yang terlibat secara rela atau diperdaya membawa daun ketum berhampiran sempadan sebelum diseludup oleh kumpulan penyeludup ke negara jiran.

Modus operandi penyeludup ialah mengeskploitasi tenaga keldai ketum yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja dengan membawa masuk daun ketum ke negeri ini, sebelum ia diseludup keluar.

Seorang bekas keldai ketum yang hanya ingin dikenali sebagai Sony, 25, berkata, beliau mula meninggalkan kerjaya tersebut empat tahun lepas dan kini bekerja sendiri bagi menyara hidup keluarganya.

“Secara jujurnya, sekarang ini saya rasa jijik dengan daun ketum dan kalau boleh, harap kerajaan giatkan usaha menghapuskan pokok ketum yang langsung tidak mendatangkan manfaat sebaliknya menghancurkan masyarakat dan negara,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, beliau mula terjebak sebagai keldai ketum selepas tamat sekolah menengah Tingkatan Lima (ketika berusia 17 tahun) kerana ingin mencari jalan mudah mendapatkan wang dengan mengambil upah membawa daun ketum dari Naka, di Kedah ke Perlis.

“Untuk mendapat upah sebanyak RM1,000 bagi satu trip saya perlu membawa sekurang-kurangnya 300 kilogram daun ketum menggunakan kenderaan sendiri dan ia tidak berbaloi berbanding dengan risiko yang terpaksa dihadapi.

“Saya sendiri telah beberapa kali ditahan polis dan naik turun mahkamah sehingga terpaksa bergolok gadai bagi menjelaskan denda apabila disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

“Bila ditolak dan campur (dihitung), hasil upah yang diperoleh tidak berbaloi...yang kaya hanyalah tauke ketum sedangkan kehidupan kami sebagai ‘orang suruhan’ masih ditahap sama,” katanya.

Keldai ketum dan hanya mahu dikenali sebagai Pak Lah, 50, ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama
Keldai ketum dan hanya mahu dikenali sebagai Pak Lah, 50, ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama

Menurut Seksyen 30 Akta Racun 1952, adalah satu kesalahan bagi aktiviti pengimportan, pengeksportan, pengilangan dan pemilikan bahan-bahan psikotropik yang tersenarai dalam akta dan jika disabitkan kesalahan, denda boleh dikenakan di bawah Seksyen 30 (5) akta sama iaitu tidak melebihi RM10,000 atau empat tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Turut berkongsi pengalaman sebagai keldai ketum dan hanya mahu dikenali sebagai Pak Lah, 50, berkata, beliau mula terlibat dengan kegiatan haram itu sejak 10 tahun lepas setelah hilang punca pendapatan akibat salah sebuah ladang Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) di negeri ini ditanam semula (Program Tanam Semula 2014).

“Masa tu ladang Felcra dah ditebang dan ditanam semula, jadi kami yang buruh-buruh kasar ini masing-masing tiada kerja, pokok getah dah kena tebang habis, hilang mata pencarian menyebabkan saya mengambil jalan mudah mengambil upah membawa ketum ke sempadan negara untuk diseludup ke negara jiran,” katanya.

Katanya, upah untuk ‘mengangkut’ (menyeludup) seberat kira-kira 25 kilogram seguni daun ketum yang diterima tidak seberapa iaitu antara RM40 hingga RM60 sehari dan bergantung kepada harga pasaran semasa daun ketum di negara jiran.

Menceritakan pengalamannya, Pak Lah berkata, modus operandi untuk menyeludup daun ketum ke negara jiran adalah dengan hanya menghulurkan guni berisi daun ketum di hutan sekitar pagar sempadan sebelum diambil oleh warga Thailand yang telah pun menunggu di sebalik pagar.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad meminta agar orang ramai tidak terlibat dalam kegiatan penyeludupan daun ketum kerana ia melanggar undang-undang.

“Apa guna mereka (keldai ketum) bersusah payah untuk kesenangan orang lain (tauke ketum) yang kaya raya, dengan hanya upah yang sedikit mereka berdepan dengan pelbagai risiko termasuk ditahan polis.

“Adalah lebih baik sekiranya mereka ini mencari pekerjaan halal yang tidak menyalahi undang-undang seperti mengusahakan tanaman yang mendatangkan hasil,” katanya menambah meskipun pekerjaan itu tidak semudah menjadi sebagai keldai ketum, namun hidup akan lebih tenang dan bahagia. - Bernama