Tindakan terhadap majikan enggan saring pekerja asing diteliti

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang meneliti bentuk tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap majikan yang enggan memberi kerjasama dalam saringan Covid-19 membabitkan pekerja asing mereka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana masih ada majikan yang enggan bekerjasama menjalankan ujian calitan terhadap pekerja asing mereka bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan golongan itu.

"Kita akan lihat dari segi perundangan yang ada, bagaimana majikan-majikan ini yang tidak menyaring pekerja mereka boleh diambil tindakan," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Sejak kerajaan mewajibkan pekerja asing di beberapa negeri menjalani ujian calitan pada 1 Disember lalu, kira-kira 17,000 individu telah menjalani ujian itu di bawah program Kementerian Sumber Manusia.

Menurut Ismail Sabri, daripada jumlah itu, 550 orang didapati positif Covid-19.

Mengulas mengenai pemendekan tempoh kuarantin wajib kepada pengembara luar yang masuk ke negara ini dari 14 hari kepada 10 hari, Ismail Sabri berkata, pengembara yang ingin pulang ke Malaysia perlu melakukan ujian calitan tiga hari sebelum berlepas pulang.

"Selepas tiba di Malaysia, mereka akan dikuarantin selama tujuh hari.

"Jika pengembara tidak dapat melakukan swab test sebelum berlepas pulang, mereka perlu menjalani ujian itu sejurus tiba di Malaysia dan jika didapati negatif, mereka perlu menjalani kuarantin wajib maksimum 10 hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi tempoh 24 Julai lalu hingga semalam, seramai 86,344 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 10,203 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 74 hotel dan 17 premis lain termasuk institut latihan awam dan institusi pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

Dalam tempoh itu juga, seramai 528 individu dihantar ke hospital untuk rawatan sementara 75,613 orang lagi telah dibenarkan pulang ke rumah, katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Saringan Covid-19 untuk pekerja asing di zon merah

Covid-19: Majikan degil tidak saring pekerja asing

888,000 pekerja asing di kawasan berisiko perlu disaring