Melaka benar premis perniagaan beroperasi sehingga 2 pagi

Sulaiman (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima pada majlis penyampaian sumbangan sempena persediaan Hari Krismas di Seri Bendahara, Ayer Keroh hari ini.
 - Foto Bernama
Sulaiman (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima pada majlis penyampaian sumbangan sempena persediaan Hari Krismas di Seri Bendahara, Ayer Keroh hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka membenarkan operasi premis perniagaan dilanjutkan sehingga jam 2 pagi bermula hari ini seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Covid-19 negeri semalam.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kelonggaran itu selari dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di samping dilihat memberi kelegaan kepada para peniaga terutama yang terkesan dengan penularan pandemik itu.

"Melaka merupakan negeri pelancongan, sudah tentu pada musim perayaan seperti sambutan Hari Krismas yang bakal menjelang, banyak pengunjung sama ada dari dalam dan luar negeri hadir ke sini dan kebenaran itu juga dilihat akan memberi kemudahan kepada mereka.

"Apa yang penting, kita mahu semua pihak terus mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan selain perlu patuh arahan penutupan premis pada pukul 2 pagi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena persediaan menyambut Hari Krismas di sini hari ini.

Terdahulu pada majlis itu, kerajaan Melaka melalui Tabung Amanah Kebajikan Negeri mengumumkan peruntukan RM60,000 untuk diagihkan kepada 300 orang penerima penganut agama Kristian.

Sementara itu, Sulaiman berkata, pihaknya optimis dengan sasaran 5.6 juta pelancong berkunjung ke Melaka tahun ini susulan kelonggaran syarat untuk merentas negeri baru-baru ini dan kemasukan semula ramai pelancong dari Lembah Klang ke sini.

Katanya, sehingga Jun lepas, sebanyak 3.6 juta orang direkodkan berkunjung ke negeri itu dan angka itu dilihat akan terus meningkat sehingga penghujung Disember ini.

"Disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, kita telah mengurangkan sasaran itu berbanding sasaran awal iaitu 20 juta tahun ini berbanding 19 juta pelancong tahun lalu dengan seramai 18.7 juta pelancong berjaya dicapai mengunjungi Melaka," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: