X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

BN akan terus tuntut penambahbaikan KWSP, moratorium

Hantaran Najib Tun Razak di Facebook beliau hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) memberi gambaran bahawa mereka tidak akan berhenti daripada meneruskan dua tuntutan utama yang dicadangkan sebelum ini meskipun Belanjawan 2021 telah diluluskan hari ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa BN telah memberikan harapan palsu kepada rakyat adalah sesuatu yang tidak benar sama sekali.

Jelasnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah memberikan jaminan bahawa mereka akan berusaha untuk memperbaiki dua kedua-dua perkara yang telah dibangkitkan oleh BN semasa berlangsungnya perbahasan Belanjawan 2021.

“Saya faham ada yang kecewa kenapa BN tidak tolak bajet hari ini walaupun kedua-dua tuntutan untuk mendapat sokongan kami masih belum sempurna.

“Saya dan kami akan terus menuntut kerajaan PN untuk tepati janji mereka sehingga kedua-dua isu ini diselesaikan sebaiknya.

“Jika hasrat kami masih tidak tercapai dan kami masih rasa tertipu selepas satu tempoh masa yang munasabah, maka BN masih berpeluang untuk membuat sesuatu kelak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Terdahulu pada perbahasan Belanjawan 2021, BN telah membuat dua tuntutan utama yang perlu dipenuhi kerajaan PN iaitu pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta lanjutan moratorium pinjaman secara automatik dan secara pukal.

Menurutnya, meskipun kedua-dua tuntutan berkenaan dilihat masih belum dipenuhi sepenuhnya, namun beliau mendapati bahawa masih ada kemajuan yang ditunjukkan bagi kedua-dua perkara tersebut berbanding sebelum ini.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dan bekas Perdana Menteri berkata, faktor kesuntukan masa merupakan antara sebab utama mengapa ahli Parlimen BN memutuskan untuk menyokong meluluskan Belanjawan hari ini.

“Pendirian kami ialah kini sudah tinggal dua minggu lagi sebelum tahun 2021 bermula dan perbelanjaan kerajaan akan berjalan mengikut bajet.

“Jika belanjawan digagalkan sekarang, kerajaan tidak ada masa lagi untuk memperbetulkannya,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!