Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat

Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat kepada 48,663 tan metrik pada Oktober 2020 berbanding 46,187 tan metrik pada bulan sebelumnya. - Foto 123RF
Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat kepada 48,663 tan metrik pada Oktober 2020 berbanding 46,187 tan metrik pada bulan sebelumnya. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 5.4 peratus pada Oktober 2020 kepada 48,663 tan metrik berbanding 46,187 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, trend sama turut ditunjukkan bagi harga purata Lateks Pekat 576.14 sen sekilogram pada Oktober 2020 berbanding 484.57 sen sekilogram September 2020.

"Harga purata Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 mencatat harga tertinggi pada Oktober 2020 iaitu 621.76 sen sekilogram berbanding 558.50 sen sekilogram pada September 2020," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 48,518 tan metrik meningkat sebanyak 6.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.

"Pembuatan sarung tangan getah terus mendominasi industri pembuatan getah asli iaitu sebanyak 36,901 tan metrik atau 76.1 peratus daripada jumlah penggunaan domestik," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 57.0 peratus daripada jumlah eksport pada Oktober 2020 diikuti Jerman (11.7 peratus), Finland (3.7 peratus), Iran (3.3 peratus) dan Brazil (2.8 peratus).

Artikel Berkaitan: