Orang ramai tak setuju bot laju ganti feri

Feri di Pulau Pinang dihentikan perkhidmatan dan digantikan dengan bot laju bermula 1 Januari tahun depan.
Feri di Pulau Pinang dihentikan perkhidmatan dan digantikan dengan bot laju bermula 1 Januari tahun depan.
A
A
A

GEORGETOWN - Maklum balas pengguna feri di negeri ini dan beberapa pengunjung luar mendapati kebanyakan mereka kurang bersetuju dengan langkah penamatan perkhidmatan feri untuk digantikan dengan bot laju bermula 1 Januari depan.

Pekerja swasta dari Kuala Lumpur, Rohana Md Desa, 44, berkata, menaiki feri merupakan antara tarikan dia dan keluarganya untuk datang ke Pulau Pinang.

Menurutnya, apabila feri ditamatkan perkhidmatannya nanti, salah satu tarikan Pulau Pinang akan hilang dan generasi akan datang tidak dapat merasa untuk menaikinya.

"Kalau ikutkan, tak setuju. Selalunya kalau ke Pulau Pinang, mesti nak rasa naik feri. Kiranya feri ini salah satu tarikan ke sini. Kalau sebut Pulau Pinang, selain makanan mesti akan teringatkan feri.

"Selepas ini, salah satu tarikan Pulau Pinang sudah tiada. Walaupun digantikan dengan bot laju, ia tak akan sama. Saya dan keluarga mengambil kesempatan berkunjung ke Pulau Pinang kali ini untuk menaiki feri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Penjawat awam, Muhammad Rafiq Jamil, 38, pula berkata, perkhidmatan feri sepatutnya dikekalkan berikutan ia merupakan ikonik bagi Pulau Pinang.

"Perkhidmatan feri ini sepatutnya dikekalkan bagi membolehkan generasi akan datang dapat merasai menaikinya.

"Walaupun ia dijadikan muzium dan restoran terapung nanti, ia tidak akan sama kerana feri tersebut tidak bergerak. Saya harap kerajaan mempertimbang semula keputusan mereka itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selewat-lewatnya 1 Julai 2022, feri yang menjadi tarikan utama orang ramai khususnya pelancong untuk menyeberang antara kawasan pulau dan Perai negeri ini tidak lagi akan digunakan.

Perkhidmatannya akan digantikan sepenuhnya dengan 'vehicle transporter' yang hanya akan membawa pengguna basikal dan motosikal, manakala kenderaan empat roda pula hanya bagi tujuan kecemasan.

ARTIKEL BERKAITAN: Katamaran ganti feri di Pulau Pinang

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, penamatan perkhidmatan feri itu tidak akan memberi kesan kepada sektor pelancongan Pulau Pinang kerana dua buah feri lama akan dijadikan muzium dan restoran terapung untuk dilawati.

"Saya yakin, ia tidak akan memberi kesan kepada sektor pelancongan di negeri ini.

"Ini kerana pelancong ke negeri ini masih boleh melihat atau melalui pengalaman menaiki feri sedia ada itu yang akan diubah suai menjadi muzium dan restoran terapung yang masih mengekalkan nilai dan elemen sejarahnya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan industri pelancongan juga akan mendapat manfaat daripada pengenalan perkhidmatan feri baharu tersebut.

"Ia lebih selesa, selamat dan pantas serta mampu membawa sehingga 1.5 juta penumpang seminggu," katanya.

Beliau berkata, dari segi kesesakan jalan raya berikutan kenderaan empat roda tidak lagi boleh menggunakan feri, perkara itu jtidak akan menjadi masalah.

"Ini kerana pengguna boleh menggunakan dua buah jambatan untuk menyeberangi antara pulau dan Perai," katanya.