Tun Mahathir hilang ‘formula ajaib’

Tun Mahathir, Mohamed khaled
A
A

JOHOR BAHRU - Apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14 dan Tun Mahathir Mohamad dipilih untuk kembali menjadi Perdana Menteri, pengundi PH sangat yakin bahawa pemimpin nombor satu negara itu mempunyai formula ajaib untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, malangnya, setelah sembilan bulan, ternyata harapan hanya tinggal harapan.

Menurutnya, rakyat Malaysia tidak merasai perubahan yang dijanjikan berikutan harga barang tidak turun, saraan hidup semakin membebankan, ekonomi tidak bertumbuh dengan baik, ringgit tidak semakin kukuh, malah jatuh selain kualiti hidup rakyat tidak lebih sejahtera.

"Malah, ‘the rule of laws’ yang dicanang-canangkan pun tidak kelihatan terserlah. Sebaliknya integriti badan berkaitan semakin dikecam dan dipersoal. Apabila Manifesto PH tidak ditunaikan, pelbagai alasan diberikan.

"Yang paling kerap dikitar semula adalah hutang negara begitu banyak sehingga tidak memungkinkan kerajaan melaksanakan janjinya. Yang peliknya, pada masa yang sama, mereka tambah lagi hutang negara. Tun Mahathir turut menggambarkan bahawa sistem pentadbiran awam sebagai gagal dan memerlukan pemulihan radikal.

"Sedangkan, sepanjang sembilan bulan lepas, perkhidmatan awam berjalan sahaja dengan baik dan sikap profesional penjawat awamlah yang telah memudahkan proses peralihan kuasa berjalan dengan teratur dan baik. Sudahnya, tiada pelaksanaan kepada perubahan radikal yang dijanjikan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Tun Mahathir turut menggambarkan pula Umno dan BN telah hancur dan musnah, tetapi parti itu terus hidup dan sudah boleh menerima kekalahannya.

"Malah menang pula dalam pilihanraya di Cameron Highlands. Susulan kemenangan tersebut, Tun Mahathir menghentam Pas kononnya Pas bekerjasama dengan ‘parti kafir’.

"Ternyata Tun Mahathir sangat marah kerana di sebalik kehadirannya di Cameron Highlands bersama pemimpin-pemimpin Melayu Pakatan Harapan, orang Melayu dan orang Asli terus berkeras menolak mereka.

"Sewaktu di Oxford, bila berhadapan dengan seorang anak muda pintar Singapura, Tun Mahathir jelas dipintas kebijakannya. Bila diasak dengan soalan yang objektif sifatnya, ternyata Tun Mahathir melenting tanpa usul periksa dan gagal menjawab soalan yang diajukan," katanya.

Beliau berkata, jemaah Menteri pula secara umumnya sangat kucar kacir dan dalam kes projek laluan Pantai Timur (ECRL) dan pelbagai isu nasional yang lain, pelbagai kenyataan yang saling bercanggah dapat kita lihat.

"Perkara ini menggambarkan kegagalan Tun Mahathir dalam memberikan kepimpinan kepada anggota kabinetnya. Mereka sebaliknya hanya disuruh menutup mulut dan tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan. Akhirnya, kita sebagai rakyat juga yang terus terpinga-pinga tentang status sebenar projek mega ini.

"Tun Mahathir tidak lagi mempunyai ‘formula ajaib’ untuk Malaysia. Era beliau telah berakhir. Selama sembilan bulan PH memerintah, tiada pemikiran serta kecerdasan baru yang kita boleh dengar untuk Malaysia. Ini bukan ‘a new Malaysia but a miserable Malaysia’.

"Malaysia yang terperangkap dengan keghairahan mendamba pembaharuan tetapi sangat tersepit dengan pemikiran lama, naratif lama dan pendekatan lama. Kereta nasional, dasar pandang ke timur, pelaburan Jepun, persengketaan berterusan dengan Singapura, serangan ke atas ringgit oleh Amerika," katanya.