Ops Tutup: 38 kes selesai libat denda lebih setengah juta

Anggota JPJ melakukan pemeriksaan terhadap salah sebuah lori sewaktu Ops Tutup di di Jalan Eastern Steel ke Pelabuhan Kemaman hari ini.
Anggota JPJ melakukan pemeriksaan terhadap salah sebuah lori sewaktu Ops Tutup di di Jalan Eastern Steel ke Pelabuhan Kemaman hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu membuka 308 kertas siasatan melalui Ops Tutup sepanjang tahun 2018 hingga November 2020 dengan 38 kes telah selesai didakwa di mahkamah melibatkan jumlah denda sebanyak RM538,800.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, jumlah denda tertinggi pernah dikenakan bagi kes yang didakwa di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 ialah di Mahkamah Dungun pada tahun ini iaitu RM30,000 bagi kesalahan membawa lebih berat muatan.

Menurutnya, denda itu dikenakan kepada pemilik syarikat yang membawa muatan lebih 84 peratus daripada muatan yang telah dibenarkan, sekali gus boleh membahayakan pengguna jalan raya dan pemandu itu sendiri.

“Terengganu merupakan negeri yang paling aktif dalam melaksanakan penguatkuasaan di bawah APAD 2010 dengan pemantauan serta penguatkuasaan berterusan dilakukan bagi memastikan tahap keselamatan pengguna jalan raya sentiasa berada di tahap optimum.

“Kita akan terus komited dalam menjalankan tugas penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan yang melanggar undang-undang yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan APAD 2010,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, satu Ops Tutup secara besar-besaran telah dilaksanakan di Jalan Eastern Steel ke Pelabuhan Kemaman hasil aduan yang diterima serta risikan yang telah dijalankan.

Katanya, Ops Tutup itu lebih tertumpu kepada kesalahan kenderaan membawa lebih muatan, membawa muatan secara merbahaya dan kesalahan teknikal yang berkaitan.

“Operasi yang dilaksanakan selama tujuh hari bermula 7 Disember hingga semalam melibatkan seramai 36 orang anggota dari Unit Operasi JPJ Kuala Terengganu, JPJ Cawangan Kemaman dan Stesen Penguatkuasa Kijal.

Artikel Berkaitan:

“Kesalahan yang paling banyak dikesan ialah membawa muatan secara berbahaya yang mana sebanyak 24 saman telah dikeluarkan dari jumlah keseluruhan notis iaitu 261 notis yang melibatkan pelbagai kesalahan termasuk kesalahan bagi kenderaan bukan perdagangan,” katanya.