Pengunjung pantai Port Dickson dinasihat patuh SOP

Pantai Port Dickson mula dikunjungi orang ramai sejak Sabtu lalu. Gambar kecil: Veerapan
Pantai Port Dickson mula dikunjungi orang ramai sejak Sabtu lalu. Gambar kecil: Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Orang ramai yang berkunjung di sekitar pantai Port Dickson dinasihatkan supaya terus berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, daerah Port Dickson masih lagi dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 20 Disember ini.

Menurutnya, hujung minggu lalu, pantai Port Dickson mula dikunjungi orang ramai.

"Sehingga semalam (Isnin) terdapat 28 kes aktif Covid-19 dan daerah ini telah diisytiharkan sebagai kawasan jingga dengan jumlah kumulatif sebanyak 235 kes positif.

"Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi SOP iaitu memakai pelitup muka, jaga jarak satu meter, cuci tangan dan elakkan bersentuhan seperti bersalaman serta dilarang berkumpul," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pematuhan SOP adalah vaksin yang paling berkesan untuk melindungi diri dan ahli keluarga.

"Bercutilah dengan berhati-hati dan patuhi SOP walaupun kerajaan telah membenarkan merentas negeri bagi merancakkan kembali ekonomi di seluruh negara," katanya.

Artikel Berkaitan: