Pinggir bandar sasar kumpulan kongsi gelap kutip wang perlindungan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kumpulan kongsi gelap kini menjadikan tapak projek perumahan di kawasan pinggir bandar sebagai sasaran untuk memeras ugut atau meminta wang perlindungan, demikian menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa.

Mendedahkan perkara itu, beliau berkata kawasan pinggir bandar di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Perak adalah antara lokasi panas yang menjadi sasaran kumpulan kongsi gelap itu.

"Kumpulan kongsi gelap menyasarkan premis perniagaan yang tidak dikawal secara optimum dan majoriti mangsa akan mengikut kehendak mereka kerana khuatir kumpulan itu akan bertindak mencederakan atau merosakkan harta benda,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, berdasarkan risikan, kegiatan pemerasan terhadap pemaju perumahan, pengurus tapak pembinaan, kontraktor dan orang perseorangan itu dilakukan oleh kumpulan kongsi gelap atau samseng tempatan yang mendominasi kawasan berkenaan.

Rohaimi berkata pihaknya mendapati kumpulan kongsi gelap seperti Geng 36 meminta wang perlindungan antara RM360 hingga RM3,600 mengikut lokasi serta keluasan sesuatu tapak projek itu dan bergantung kepada kumpulan yang melakukan pemerasan.

Sepanjang tahun lepas, beliau berkata lima ahli kongsi gelap dan 40 samseng tempatan ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

"Sebanyak 914 kertas siasatan dibuka tahun lepas berhubung kes peras ugut melibatkan pemaju perumahan, pengurus tapak pembinaan, kontraktor dan orang perseorangan," katanya.

Sehubungan itu, Rohaimi meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung aktiviti pemerasan oleh kumpulan kongsi gelap melalui talian hotline yang diwujudkan di seluruh negara dan memberi jaminan bahawa maklumat pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Artikel Berkaitan:

"Sejak talian hotline dibuka pada 5 hingga 7Jan lepas, kami menerima lapan maklumat serta risikan dan siasatan sedang dijalankan," katanya.

Pada 4 Jan lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata maklumat aktiviti pemerasan boleh disalur menerusi talian hotline yang diwujudkan di seluruh negara atau Unit Pencegahan Kongsi Gelap Bukit Aman menerusi aplikasi WhatsApp dalam talian 011-12277478.

Talian hotline lain yang boleh dihubungi ialah Perlis (018-9409255); Kedah (011-58914020); Pulau Pinang (018-9714508); Perak (011-39590439); Selangor (017-2847611); Kuala Lumpur (017-2035767); Negeri Sembilan (018-6495106); Melaka (017-8847470); dan Johor (013-6052467).

Wan Ahmad Najmuddin berkata bagi kawasan pantai timur pula ialah Pahang (010-2266558); Terengganu (013-9391347); dan Kelantan (016-3521277) manakala bagi Sabah (013-8928228) dan Sarawak (013-5253052).- Bernama