Katamaran ganti feri di Pulau Pinang

Katamaran atau teksi air yang akan digunakan bagi membawa penumpang di Pulau Pinang nanti.
Katamaran atau teksi air yang akan digunakan bagi membawa penumpang di Pulau Pinang nanti.
A
A
A

GEORGETOWN - Perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari ini.

Sebaliknya, feri sedia ada akan terus beroperasi untuk kegunaan pengangkutan motosikal dan basikal sahaja.

Ini bermakna, bermula tarikh itu, kesemua kenderaan empat tayar termasuk kereta persendirian tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke kawasan pulau atau sebaliknya.

Bagaimanapun, perkhidmatan feri untuk penumpang, motosikal dan basikal itu akan diambil alih oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Prasarana Malaysia Berhad bermula tarikh tersebut.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, PPSB akan menyediakan perkhidmatan katamaran atau teksi air untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri sebelum ini.

Untuk sementara, katanya, perkhidmatan bagi penumpang akan menggunakan feri laju manakala untuk motosikal serta basikal menggunakan feri sedia ada.

"Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan dana sebanyak RM30 juta kepada PPSB untuk pembelian empat buah katamaran.

"Oleh itu, bermula 1 Januari 2021 hingga Jun 2022, penggunaan feri laju dan feri sedia ada adalah langkah interim sebelum empat katamaran yang akan dijadikan teksi air dan 'vehicle transporter' digunakan.

Artikel Berkaitan:

"Semasa tempoh interim, kedua-dua terminal Pangkalan Raja Tun Uda dan Pangkalan Sultan Abdul Halim akan diubah suai dan dinaik taraf bagi mengendalikan feri baharu dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap selain terminal lebih selesa kepada pengguna," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang pengubahsuaian tersebut, terminal di Georgetown dipindahkan sementara ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).

"Sepanjang tempoh itu juga, waktu operasi feri akan berubah bagi diselaraskan dengan kerja pengubahsuaian. SPPP memberi jaminan, perkhidmatan feri tidak akan putus dan sepanjang tempoh interim ini, tambang feri sedia ada akan dikekalkan.

"Perkhidmatan feri untuk kenderaan empat tayar tidak lagi disediakan bermula 1 Januari ini. Kesemua kenderaan tersebut perlu menggunakan Jambatan Pulau Pinang atau Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah seperti yang diputuskan Jemaah Menteri," katanya.

Sementara itu, Teik Cheng berkata, bagi mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang, SPPP akan menempatkan dua buah feri sedia ada di Tanjung City Marina.

"Feri-feri ini akan diubah suai sebagai restoran dan muzium terapung. Ia tidak akan bergerak, hanya diletakkan di Tanjung City Marina sahaja.

"Tujuan ia diletakkan di situ adalah bagi mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang. Pemilihan Tanjung City Marina pula adalah kerana ia merupakan lokasi paling strategik," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, V Sasedharan berkata, teksi air yang akan digunakan bermula Julai 2022 mampu membawa 200 penumpang dalam satu masa dengan jangkaan 40 perjalanan setiap hari yang mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk satu perjalanan.

Menurutnya, penggantian kepada bot jenis katamaran juga mengambil kira penjimatan memandangkan ia mudah diselenggara berbanding feri sedia ada yang memerlukan peruntukan sehingga RM2.2 juta untuk kos pembaikan bagi sebuah feri.

"Kita juga sukar mendapatkan alat ganti kerana perlu diimport dari Jerman dan Sweeden.

"Ia menjadi lebih sukar apabila kita berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana Covid-19," katanya.