Negeri Sembilan sasar pelaburan RM10 bilion tahun depan

Aminuddin (empat dari kanan) melihat replika pelan pembangunan selepas pelancaran Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 di Seremban hari ini.
Aminuddin (empat dari kanan) melihat replika pelan pembangunan selepas pelancaran Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 di Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan sebanyak RM10 bilion nilai pelaburan baharu di negeri itu pada tahun depan berbanding RM5 bilion pada tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sasaran itu meningkat 100 peratus daripada pendapatan pelaburan tahun ini walaupun dalam ekonomi negara tidak menentu susulan pandemik Covid-19.

"Kita sentiasa memberikan sasaran yang meningkat setiap masa. Anggaran tahun depan paling kurang RM10 bilion untuk pelaburan baharu. Walaupun dalam keadaan yang cukup getir ini, kita berharap dan yakin kalau kita berusaha, insya-ALLAH kita dapat.

"Sama juga pada tahun ini, kerajaan negeri tidak berharap untuk mendapat RM5 bilion tetapi setakat ini kita capai walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu. Harap tahun depan ada peluang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pelancaran Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 merupakan usaha kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelabur domestik dan luar negara datang melabur ke negeri itu.

Dalam pada itu, Mohamad Rafie berkata, bagi mencapai nilai pelaburan baharu mencecah RM10 bilion pada tahun depan, kerajaan negeri menumpukan kepada tiga sektor pembangunan pelaburan.

"Sektor perindustrian kita tumpukan di Seremban dan Port Dickson iaitu di kawasan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) dan di Jelebu pula kita bangunkan sektor biodiversiti dengan kita mengeksploitasi keindahan alam yang ada.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri juga tidak mahu melupakan kawasan Rembau, Tampin, Jempol dan Kuala Pilah yang mahu dibangunkan sebagai wilayah agropolis iaitu jadikan sebagai kawasan 'Dapur Lembah Kelang'.

"Ini bermakna kita mahu pastikan ada usaha-usaha pertanian yang berskala tinggi yang dapat bawa pulangan yang baik kepada usahawan-usahawan tani," katanya.