Kes lucut hak wang RM48 juta bapa Jho Low didengar semula

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosiding lucut hak wang lebih RM48 juta dalam akaun bank milik Tan Sri Larry Low Hock Peng, bapa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang disita kerajaan didengar sekali lagi di Mahkamah Tinggi di sini.

Ini susulan pihak pendakwaan ingin meminda notis usul terpinda pelucuthakan dana yang dibuat mengikut Seksyen 56 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Pada 9 Julai tahun lepas, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang berjumlah RM48,979,500.67 dalam tujuh akaun bank milik Larry Low selepas tiada pihak ketiga hadir di mahkamah menuntut wang terbabit.

Bagaimanapun, dipercayai kerajaan belum lagi memperoleh hak ke atas wang tersebut yang didakwa berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya Syafinaz Shabudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya perlu membuat pindaan selepas menyedari terdapat pengulangan ayat pada perenggan pertama notis usul selain maklumat berkenaan dua bank terlibat tidak dimasukkan dalam permohonan lucut hak itu.

“Nama dua cawangan bank yang tidak dimasukkan ialah RHB Bank cawangan KLCC dan Maybank cawangan Plaza MWE, Georgetown, Pulau Pinang.

“Pohon tarikh sebutan (baharu) untuk kami buat sedikit pindaan pada notis usul terpinda bagi membolehkan ia diwartakan. Selepas diwartakan pihak kami akan memanggil pihak ketiga berkepentingan untuk hadir ke mahkamah bagi menuntut wang tersebut,” katanya.

Hakim kemudian menetapkan 22 Januari depan untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan pindaan terhadap notis usul itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Syafinaz berkata, hingga kini, Larry Low tidak pernah melantik mana-mana peguam untuk mewakilinya dalam prosiding pelucuthakan tersebut.

“Responden (Larry Low) tidak pernah diwakili dan peguam yang mewakili dia tidak pernah hadir,” katanya.

Hingga kini, pihak berkuasa dilaporkan masih berusaha mengesan Larry Low, isterinya Goh Gaik Ewe dan Jho Low untuk membantu siasatan kes membabitkan syarikat pelaburan kerajaan 1MDB.

Tujuh akaun yang merangkumi simpanan tetap dan semasa itu sebelum ini dibekukan sebagai sebahagian siasatan sama ada wang tersebut adalah sebahagian dana yang diselewengkan daripada 1MDB. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah benar RM48 juta disita daripada akaun bapa Jho Low

Pendakwa Raya mohon pinda amaun, nama bank bapa Jho Low