Kes rasuah bekas Ahli Lembaga Felda: 16 lagi saksi dipanggil

Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid - Foto Bernama
Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan akan mengemukakan 16 lagi saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes bekas ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid yang menghadapi 29 pertuduhan rasuah.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh memaklumkan demikian kepada Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Kamar Jamaludin semasa sebutan kes hari ini bagi menetapkan tarikh sambung perbicaraan.

"Pihak pendakwaan akan menyediakan penyataan bertulis bagi kesemua 16 saksi," katanya.

Terdahulu, Farah Yasmin berkata, pihak pendakwaan dan pembelaan telah mencapai persetujuan untuk memilih tarikh sambung perbicaraan pada 1, 2, 19 dan 20 April serta 3, 4, 20 dan 21 Mei tahun depan.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Noor Ehsanuddin turut mengesahkan perkara itu.

Noor Ehsanuddin, 57, yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi hadir ke mahkamah dengan memakai sut lengkap berwarna kelabu.

Sementara itu, Farah Yasmin ketika ditemui pemberita berkata, perbicaraan kes itu bermula pada Ogos tahun lepas dengan 24 saksi pendakwaan antaranya pegawai bank dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia memberi keterangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bicara kes rasuah Ahli Lembaga Felda bermula 19 Ogos

Artikel Berkaitan:

Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi didakwa terima rasuah

Noor Ehsanuddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 tuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Difahamkan kenderaan itu adalah sebuah kereta jenis BMW 3 Series.

Di Mahkamah Johor Bahru, tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama pada 2013 dan 2014.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima tuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60.

Kesemua pertuduhan itu dibicarakan secara bersama di Mahkamah Sesyen di sini di hadapan Ahmad Kamar. - Bernama