Dua berdepan tuduhan godam di AS kekal reman di penjara

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan ikat jamin dua eksekutif rakyat Malaysia yang didakwa oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) atas pertuduhan pengubahan wang haram dan jenayah siber di negara itu.

Justeru, ahli perniagaan, Wong Ong Hua, 46, dan penganalisis komputer, Ling Yang Ching, berusia 30-an kekal ditahan reman di Penjara Sungai Buloh sehingga mereka diekstradisi ke AS.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan peguam Datuk Zamani Ibrahim yang mewakili pemohon.

Aslam berkata, jika ikat jamin diberi, kedua-dua pemohon yang kini berada di Penjara Sungai Buloh perlu menjalani kuarantin selama dua minggu.

"Sepanjang tempoh itu, prosiding komital bagi permohonan ekstradisi ke AS, dibuat dan didengar di Mahkamah Sesyen Isnin ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Padah godam komputer, dua rakyat Malaysia didakwa di AS

Artikel Berkaitan:

Terdahulu dalam prosiding, Zamani berhujah bahawa kedua-dua pemohon direman sejak 14 September lalu memohon ikat jamin sebelum bertolak ke AS bagi menghadapi tuduhan berkenaan.

"Mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri, mereka hanya mahu pulang ke Sitiawan dan bersedia dikenakan syarat jaminan oleh mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Ashrof membantah permohonan itu dengan alasan tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan ikat jamin diberi, membabitkan kes ekstradisi.

"Negara kita menandatangani perjanjian dan mempunyai obligasi kepada AS serta negara lain yang terbabit dalam perjanjian ekstradisi.

"Tuduhan terhadap mereka di AS juga termasuk dalam kes yang tidak boleh diikat jamin,” katanya.

Pada 3 September lalu, pihak berkuasa AS meminta kedua-dua suspek untuk diekstradisi ke negara itu dan Pejabat Peguam Negara bersetuju mematuhi permohonan itu mengikut Akta Ekstradisi 1992, serta perjanjian ekstradisi antara pemerintah Malaysia dan AS.

Pihak polis kemudian memohon perintah reman di Mahkamah Majistret di sini pada 11 September lalu.

Pada 17 September lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengeluarkan kenyataan bahawa kedua-dua suspek ditangkap di Perak pada 14 September lalu.