Bekas COO,CEO syarikat pengurusan sisa pepejal didakwa rasuah

Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) membawa tertuduh Saiful Anuar Ismail (tengah) dan Azmi Amin Sarji (kanan) untuk proses ikat jamin di Kompleks Mahkamah Alor Setar hari ini.
Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) membawa tertuduh Saiful Anuar Ismail (tengah) dan Azmi Amin Sarji (kanan) untuk proses ikat jamin di Kompleks Mahkamah Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan dan memperdayakan syarikat berhubung dokumen bayaran palsu pada tahun 2018 dan 2017.

Tertuduh, Azmi Amin Sarji dan Saiful Anuar Ismail membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama menerima satu suapan iaitu wang tunai RM170,000 daripada Syarikat Azhar Prestige Environment Sdn Bhd.

Tindakan itu sebagai dorongan untuk meluluskan pembayaran kepada invois cukai syarikat itu sedangkan tiada kerja yang dilakukan dalam kontrak perubahan kerja bertarikh 27 Februari 2018.

Mereka melakukan perbuatan itu di Wisma Idaman, Bandar Stargate, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini pada 19 Februari 2018.

Kedua-dua tertuduh turut didakwa dengan niat bersama hendak memperdayakan Environment Idaman Kedah dan Perlis Sdn Bhd satu dokumen iaitu sijil pembayaran bagi Mac 2017 yang mana syarikat itu memiliki kepentingan mengenainya dan memiliki sebab untuk mempercayai dokumen itu mengandungi butiran matan palsu.

Tertuduh didakwa mengesahkan bahawa kerja-kerja seperti dalam invois cukai syarikat Syumul I Nur Sdn Bhd bertarikh 2 April 2017 sebanyak RM426,935.14 telah dilaksanakan sedangkan tiada perkhidmatan dilakukan.

Perbuatan itu dilakukan mereka antara 8 Mei hingga 9 Mei 2017 di Pejabat Environment Idaman Kedah dan Perlis Sdn Bhd, Wisma Idaman, Bandar Stargate, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini.

Artikel Berkaitan:

Bagi dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 6 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dalam pertuduhan berasingan, Azmi didakwa memalsukan dokumen syarikat iaitu sijil pembayaran bagi November dan Disember 2017 dengan mengesahkan bahawa kerja-kerja seperti dalam invois cukai Syarikat Abiwatan Sdn Bhd bertarikh 30 November 2017 dan 31 Disember 2017 dengan masing-masing berjumlah RM74,489.53 dan RM74,489.53 dilaksanakan sedangkan tiada perkhidmatan sedemikian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping, manakala tertuduh pertama diwakili peguam Shamsul Sulaiman dan tertuduh kedua diwakili peguam Muhammad Samsul Nizam Sohhimu dan Syed Naqiuddin Shahab.

Peguam Shamsul memohon jaminan yang rendah dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh pertama mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan memiliki dua anak yang masih belajar.

Peguam Muhammad Samsul turut memohon jaminan rendah ke atas anak guamnya atas alasan tertuduh kedua tidak memiliki pendapatan tetap selepas diberhentikan kerja pada 13 Januari 2020 dan perlu menanggung 12 orang termasuk enam yang masih belajar.

Murtazadi membenarkan Azmi diikat jamin RM80,000 dan Saiful dengan jaminan RM40,000 dengan masing-masing seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan kedua tertuduh perlu menyerahkan dokumen perjalanan dan mengarahkan mereka melaporkan diri di Pejabat SPRM berdekatan masing-masing setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 17 Januari 2021 untuk sebutan semula kes.