Jika RUU bacaan ketiga gagal, bukan tanda kerajaan jatuh

Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Shamrahayu Abd Aziz
Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Shamrahayu Abd Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Jika Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan tidak diluluskan pada bacaan ketiga, kerajaan boleh memasukkan usul undi percaya untuk mendapat undi majoriti mudah daripada keseluruhan ahli Dewan Rakyat.

Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Shamrahayu Abd Aziz menjelaskan, RUU Perbekalan boleh dihantar kepada Dewan Negara jika ia mendapat undi majoriti mudah pada bacaan kedua dan ketiga iaitu sebanyak dua pertiga ahli Dewan Rakyat bagi pindaan Perlembagaan.

Menurutnya, terdapat amalan di Parlimen British yang mana jika RUU atau cadangan Perdana Menteri tidak diluluskan oleh Parlimen, kerajaan boleh memilih untuk memasukkan usul undi percaya.

"Jadi, gagalnya RUU pada bacaan ketiga bukanlah menunjukkan kerajaan semasa jatuh, walaupun keadaan tersebut dianggap sebagai kerajaan telah kehilangan majoriti," katanya.

Namun begitu, jika usul undi percaya itu gagal, Perdana Menteri perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meletakkan jawatan dan meminta perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun, hak Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenan atau tidak adalah mengikut budi bicara baginda seperti termaktub dalam Perkara 40(2)(b),” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dr Shamrahayu menjelaskan jika Yang di-Pertuan Agong perkenan, maka Dewan Rakyat dibubarkan dan Pilihan Raya Umum perlu diadakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran.

Katanya, Parlimen hendaklah bermesyuarat pada pertama kali dalam masa tidak lebih daripada 120 hari dari tarikh Dewan Rakyat bubar menurut Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya, jika baginda tidak memperkenan bagi permintaan pembubaran Dewan Rakyat, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan.

“Jika Perdana Menteri enggan meletakkan jawatan, baginda berhak untuk memecat beliau dan melantik Perdana Menteri baharu kerana telah terbukti beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Baginda boleh melantik Perdana Menteri baharu iaitu seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 40(2)(a) dibaca dengan Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak mahu meneka, saya tidak mahu menjadi tok nujum untuk menjawab soalan sama ada RUU Perbekalan akan diluluskan atau tidak pada undian bacaan ketiga petang ini.

“Kita serahkan kepada Yang Berhormat yang bijaksana,” katanya.