Minum racun rumput selepas cekik isteri hingga mati

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GUA MUSANG - Gara-gara mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain, seorang lelaki orang asli dari suku Temiar bertindak mencekik isterinya sehingga mati akibat cemburu.

Kejadian yang meragut nyawa ibu lima anak, Huda Sudin, 38, berlaku di rumah pasangan terbabit di Pos Brooke kira-kira jam 10 malam Ahad lalu.

Lebih tragis, suspek yang berusia 45 tahun cuba membunuh diri dengan meminum arak bersama racun rumput yang dibeli di kedai berhampiran.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, niat suspek untuk membunuh diri bagaimanapun tidak berjaya dan ditemui dalam keadaan tidak bermaya oleh penduduk kampung di dalam rumah bersama mayat isterinya.

“Pasangan itu dipercayai bergaduh kerana suspek mengesyaki isterinya berulang kali mengadakan hubungan dengan lelaki lain.

“Berlaku pergelutan antara mereka sebelum suspek bertindak mencekik mangsa sehingga meronta-ronta untuk melepaskan diri, namun gagal dan maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Beliau berkata, suspek yang menyedari mangsa sudah tidak bernyawa kemudian keluar rumah untuk membeli arak dan racun rumput.

“Dia kemudian minum minuman keras tersebut sehingga mabuk dan meminum racun rumput untuk membunuh diri. Polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi mendapati suspek berada dalam keadaan lemah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Shafien memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat manakala suspek dirujuk ke hospital sama untuk rawatan.

“Keadaan suspek stabil dan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin 21 Disember depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori,” katanya.