Tiada tindakan terhadap Ku Li selagi tiada aduan rasmi

Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh
Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Disiplin UMNO tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan disiplin sekiranya tiada aduan rasmi terhadap Tengku Razaleigh Hamzah susulan kerjasama Ahli Parlimen Gua Musang itu bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Zulhasnan Rafique berkata, sekiranya ada aduan rasmi berkenaan perkara terbabit, pihaknya boleh mengambil tindakan.

"Ada aduan rasmi baru boleh diambil tindakan. Tapi pihak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) juga boleh membuat keputusan terhadap Tengku Razaleigh sekiranya ada apa-apa yang salah.

"MKT ada kuasa muktamad terhadap apa-apa keputusan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman terbuka veteran UMNO itu berhubung kerjasama pihaknya bersama Dr Mahathir semalam.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li sebelum itu menegaskan semua pihak memiliki kebebasan untuk memilih sesiapa sahaja yang mereka sokong dalam menjalankan kerjasama politik.

Beliau turut mempersoalkan tindakan disiplin yang akan dihadapi berikutan kerjasama itu.

Dalam pada itu, Zulhasnan enggan menjawab tindakan apa yang akan dikenakan terhadap Ku Li sekiranya beliau terbukti bersalah.

Artikel Berkaitan:

"Tak payah jawab. Belum sampai ke peringkat itu," tegasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan berisiko tumbang esok: Dr Mahathir