Dadah bernilai setengah juta dalam teh Cina dirampas

Abd Jalil (dua,kiri) menunjukkan bungkusan teh Cina yang digunakan oleh sindiket sambil diperhatikan oleh Zaiham (kiri) dalam sidang akhbar di IPD Bentong hari ini
Abd Jalil (dua,kiri) menunjukkan bungkusan teh Cina yang digunakan oleh sindiket sambil diperhatikan oleh Zaiham (kiri) dalam sidang akhbar di IPD Bentong hari ini
A
A
A

BENTONG - Taktik seorang lelaki menyembunyikan dadah menggunakan bungkusan teh Cina gagal mengaburi pihak berkuasa apabila ditahan bersama dadah dianggarkan bernilai RM488,788 Khamis lalu.

Lelaki berusia 48 tahun yang berasal dari Petaling Jaya itu ditahan kira-kira jam 7.45 malam di Genting Highlands ketika berada dalam sebuah kenderaan di hadapan sebuah restoran.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pemeriksaan menemui 10 bungkusan teh Cina mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat 10,388.09 gram dan Erimin 5 (0.22 gram).

Menurutnya, suspek mendapatkan bekalan tersebut dari luar negara untuk edaran tempatan dan boleh dibekalkan kepada 20,776 pengguna dadah.

"Ini merupakan rampasan terbesar dadah di daerah Bentong tahun ini dan tangkapan tersebut pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan.

"Hasil siasatan mendapati sindiket ini aktif mengedar syabu di sekitar Bentong dan Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.

Abd Jalil memberitahu, suspek yang positif methamphetamine mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan 11 lagi kesalahan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek ditahan selama tujuh hari bermula 11 Disember di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.