[DIKEMASKINI] Tabung Haji saran pendeposit kemas kini maklumat peribadi

Tabung Haji
Tabung Haji
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati pendeposit supaya mengemas kini maklumat peribadi jika terdapat perubahan alamat, nombor telefon dan penamaan waris.

Pengarah Eksekutif (Haji) TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, proses kemas kini bertujuan memudahkan pihaknya menghubungi pendeposit selain mengelakkan kes surat tawaran tunai haji tidak diterima kerana bertukar alamat.

"Surat tawaran tunai haji bagi tahun hadapan akan dikeluarkan sebaik sahaja pihak TH menerima ketetapan daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan dengan pelaksanaan haji.

"Untuk makluman semua, TH masih belum menerima sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan perincian musim haji tahun hadapan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi memudahkan proses kemas kini maklumat peribadi, para pendeposit TH juga digalakkan untuk mendaftar aplikasi perkhidmatan THiJARI (www.thijari.com.my).

"Menerusi aplikasi ini bakal haji boleh menyemak pendaftaran haji, status tawaran haji, jadual penerbangan serta pelbagai perkhidmatan lain seperti urusan pindahan simpanan, semakan baki dan sebagainya.

"Proses kemas kini boleh dilakukan di mana-mana Pejabat Cawangan TH, Pusat Perkhidmatan TH dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

"Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pendeposit boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-6207 1919," katanya.

Artikel Berkaitan: