Dr Noor Hisham lulus permohonan tiga MP jalani kuarantin ke Dewan Rakyat

Azhar Azizan menenangkan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati dengan kehadiran tiga wakil rakyat yang menjalani perintah HSO meskipun mereka hadir dengan memakai PPE dan duduk dalam galeri awam untuk mengundi RUU Perbekalan 2021 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Wilayah Persekutuan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.

Azhar Azizan menenangkan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati dengan kehadiran tiga wakil rakyat yang menjalani perintah HSO meskipun mereka hadir dengan memakai PPE dan duduk dalam galeri awam untuk mengundi RUU Perbekalan 2021 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Wilayah Persekutuan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kehadiran tiga ahli Parlimen yang sedang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) ke Dewan Rakyat bagi proses pengundian Belanjawan 2021 pada Isnin mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan, ketiga-tiga ahli Parlimen berkenaan terlebih dahulu telah menulis surat permohonan kepada Dr Noor Hisham untuk diberikan pelepasan kepada mereka.

"Dr Noor Hisham melalui surat bertarikh 14 Disember meluluskan permohonan untuk pelepasan masa bagi menghadiri undian di Dewan Rakyat dengan syarat ditetapkan.

"Pelepasan ini juga hanya untuk sesi pengundian dan kesemua mereka hanya berada di bilik khas iaitu di Galeri Awam Dewan Rakyat dalam mood 'stanby' bagi proses undi sahaja.

"Kehadiran mereka akan dicatatkan oleh Bentara dan Bentara yang sama juga mengiringi mereka ke bilik khas dan ketika sesi pengundian," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH- Port Dickson) yang meminta penjelasan berhubung tindakan Azhar membenarkan tiga ahli Parlimen, iaitu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; dan P Prabakaran (PH-Batu) hadir untuk mengundi di Dewan Rakyat dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, pengecualian yang diberikan kepada ahli Parlimen terlibat bukan perkara baru sebaliknya sudah diberi kepada individu di bawah pengawasan (PUS) untuk urusan menghadiri acara pengebumian dan melawat pesakit.

Katanya, pemakaian PPE juga ditetapkan bagi mengambil kira situasi kesihatan orang lain.

"Dengan mengambil kira tempoh 10 hari bagi HSO ditetapkan KKM, untuk makluman, Tenggara (Dr Adham) telah tamat HSO semalam dan beliau boleh ke Dewan Rakyat hari ini manakala bagi Batu, hari ini adalah hari terakhir dan boleh kembali ke dewan esok.

"Bagi Tapah (M Saravanan) pula tempoh HSO adalah sehingga Khamis ini,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Dewan Rakyat kecoh susulan kehadiran tiga ahli parlimen berpakaian PPE di Dewan Rakyat untuk sesi pengundian Belanjawan 2021 sehingga menyebabkan majoriti ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda protes dan tidak mengundi.

Azhar menafikan beliau sengaja mengubah prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sebaliknya ia ditetapkan oleh KKM bahkan ketiga-tiga ahli Parlimen berkenaan juga telah didapati negatif.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen jalani kuarantin perlu pakai PPE ke Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Batu hargai kerjasama KP Kesihatan