Hadiah Agrobank kepada komuniti agro hadapi Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebagai sebuah institusi korporat yang prihatin terhadap kestabilan industri pertanian khususnya sektor agromakanan negara, Agrobank hari ini telah melancarkan penerbitan khas bertajuk ‘Kesan COVID-19 dan Jaminan Bekalan Makanan Negara – Isu, Cadangan dan Solusi’.

Penerbitan ini merupakan kompilasi artikel nukilan pemain-pemain penting dalam industri pertanian dan mengupas isu, cabaran dan solusi berkaitan jaminan bekalan makanan akibat penularan pandemik Covid-19.

Laporan Global 2020 mengenai Krisis Makanan (GRFC) menyatakan bahawa pandemik Covid-19 dapat mengakibatkan kemerosotan lebih lanjut terhadap jaminan bekalan makanan sehingga ke tahap akut atau kritikal dalam keadaan populasi semasa dunia.

Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang, berkata, penerbitan buku ini adalah sangat bertepatan dengan situasi semasa dunia untuk memberi sedikit sebanyak maklumat dan panduan kepada komuniti agro secara khusus dan rakyat Malaysia secara amnya akan kepentingan jaminan bekalan makanan terutamanya dalam menghadapi sebarang krisis.

Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan yang mendokong mandat Kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan sektor pertanian di Malaysia dan sekaligus menyokong komuniti yang kurang mendapat liputan dan terpinggir, Agrobank terus komited menyediakan pelbagai program pembiayaan dan inisiatif yang melangkaui perbankan kepada pelanggannya, seperti penerbitan buku ini yang diberikan secara percuma kepada komuniti agro dan rakyat Malaysia seiring dengan penyataan Visi Agrobank iaitu Memperkasakan Pertanian Melangkaui Perbankan

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan juga, Agrobank turut menjalankan pelbagai insiatif melangkau perbankan dengan membantu usahawan agro menerusi penganjuran kursus secara zikal dan atas talian untuk membantu usahawan agro yang terjejas perniagaan akibat COVID-19 menerusi pelbagai siri Bimbingan Perniagaan,Klinik Bisnes, sesi dialog dalam talian seperti UMBI AGRO dan sesi webinar yang menyediakan platform kepada usahawan agro untuk membincangkan isu, cadangan dan solusi berkaitan keusahawanan dalam sektor pertanian dan agromakanan.

Di pelancaran buku yang dilancarkan secara atas talian menerusi laman Facebook rasmi Agrobank ini, Mustapha turut menzahirkan perhargaan di atas usaha dan sokongan yang diberikan oleh penyumbang artikel bagi penerbitan buku ini,

“Daripada saya serta seluruh warga kerja Agrobank, setinggi penghargaan kepada penulis-penulis yang telah menyumbang artikel bagi penerbitan buku ini. Semoga intipati di dalam buku ini dapat memberikan ilmu pengetahuan baru serta dapat dijadikan panduan kepada kita semua dalam perjuangan kita untuk meningkatkan kestabilan jaminan bekalan makanan negara.”

Artikel Berkaitan:

Buku ‘Kesan COVID-19 dan Jaminan Bekalan Makanan Negara – Isu, Cadangan dan Solusi’ terbitan Agrobank ini memuatkan sembilan artikel dan dua kajian kes berkaitan jaminan bekalan makanan negara yang menerbitkan penulisan artikel daripada Datuk Haslina Abdul Hamid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Profesor Datin Paduka Fatimah Mohamed Arshad, Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN); Datuk Dr. Madeline Berma, Felo Akademi Sains Malaysia; Dr. Sarena Che Omar, Associate Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Khazanah serta agensi-agensi yang terlibat iaitu FAMA, MARDI, LPP dan Jabatan Pertanian.

Buku ini diterbitkan secara fizikal (dengan kuantiti terhad) dan digital; dan boleh didapati/ dimuat turun di laman sesawang Agrobank iaitu www.agrobank.com.my.