Penagih dadah dikehendaki polis diberkas

Polis memberkas suspek bersama barangan rampasan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Labu, Sekinchan.
Polis memberkas suspek bersama barangan rampasan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Labu, Sekinchan.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang penagih dadah yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam beberapa kes jenayah ditahan selepas mencuri sejumlah wang tunai dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios di Site B Sekinchan pada Jumaat lalu.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Labu, Sekinchan kira-kira jam 11 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, dalam serbuan itu, polis menjumpai pelbagai barangan curi di rumah terbabit antaranya jam tangan, seluar jeans dan baju T termasuk wang tunai berjumlah RM201.

Menurutnya, suspek mencuri wang dalam kereta milik mangsa berusia 37 tahun itu kira-kira jam 8.30 pagi, Jumaat lalu.

"Mangsa menyedari keretanya yang dalam keadaan pintu kereta tidak berkunci telah dimasuki individu tidak dikenali.

"Pemeriksaan mendapati sejumlah wang tunai yang diletakkan di dalam kotak penyimpan barang telah tiada," katanya.

Beliau berkata, selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu, polis melakukan serbuan dan menahan suspek terbabit.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Semakan juga mendapati suspek sebelum ini turut memiliki pelbagai rekod kesalahan jenayah dan narkotik," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 15(1)(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.