[VIDEO] Ahli Parlimen BN kekal pendirian sokong Belanjawan 2021

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengulangi keputusan parti itu yang berpegang teguh dengan pendirian menyokong Belanjawan 2021 untuk diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen BN memegang mandat parti dan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menyatakan sokongan terhadap perkara itu.

"Kita pegang mandat parti dan ketetapan MKT, kerana jika kami melanggarinya kami boleh dipecat daripada parti. Justeru kami 42 orang pegang keputusan parti," ciapnya di laman Twitternya hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan secara peribadi turut menyatakan pendirian sama menyokong Belanjawan 2021 agar ia dapat diluluskan di Dewan Rakyat.

"Adakah saya akan undi di #DewanRakyat untuk #Bajet2021? Jawapannya YA, saya sokong #Belanjawan2021 ini dan mengundi agar ianya diluluskan," ciapnya di laman Twitternya hari ini.

Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Pontian turut menyifatkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah berjaya melaksanakan tugas beliau dengan baik.

"Tentang #KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan #moratorium masih boleh dirunding dengan pihak-pihak yang berkaitan jika ada syarat-syarat yang sukar," ciapnya lagi.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah memohon Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menolak Bacaan Kali Ketiga Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mereka berpandangan, dengan penolakan Bil (Rang Undang-Undang) Pembekalan itu, ia boleh diterjemahkan sebagai penolakan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan lemah dan tidak mementingkan rakyat.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, mereka berdua juga mengharapkan agar kerajaan sedia ada dapat ditolak dan diganti dengan kerajaan yang lebih kukuh demi masa depan negara.

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan PN lalui ujian getir di Parlimen hari ini

Anwar tidak diberitahu mengenai kerjasama Tun M dengan Ku Li

Tun M, Ku Li berkongsi pentas petang ini