Polis tahan suspek samun menyamar pelanggan

Rakaman CCTV di lokasi kejadian di Sungai Petani pada 2 Disember lalu yang tular di media sosial.
Rakaman CCTV di lokasi kejadian di Sungai Petani pada 2 Disember lalu yang tular di media sosial.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun di sebuah kedai insurans di Taman Intan di sini pada 2 Disember lalu yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Batu Dua dan Bandar Utama di sini antara jam 3 dan 4 petang semalam.

Beliau berkata, lelaki berusia 26 dan 27 tahun itu mengaku terlibat kejadian samun dengan melarikan wang tunai berjumlah RM200 dengan menyamar sebagai pelanggan, menyembur gas pemedih mata dan mengacukan pisau ke arah penjaga kedai terbabit.

"Turut dirampas ialah sebilah pisau berukuran 24 sentimeter, sebuah motosikal jenis Yamaha, telefon bimbit, baju-T, seluar jeans, topi keledar, kasut dan beg silang dipercayai milik suspek," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu, Adzli berkata, suspek telah masuk ke dalam kedai dan berpura-pura sebagai pelanggan.

"Ketika diminta menyerahkan dokumen, dia kemudian mengeluarkan gas pemedih mata dan mengacukan pisau selain mengugut mangsa menyerahkan wang," katanya.

Menurutnya, seorang lagi suspek yang berada di luar kedai telah memecahkan pintu kaca yang berkunci bagi membolehkan rakannya keluar melarikan diri selepas mendapat RM200 yang diberikan mangsa akibat ketakutan.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian kemudian tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-duanya yang mempunyai rekod lampau jenayah direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.