Keputusan di tangan ahli Parlimen, kata Abdullah Sani

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid
Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid tidak menolak kemungkinan undian Belanjawan 2021 yang dibentangkan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat akan ditolak.

Menurutnya, apa-apa perkara boleh terjadi kerana sokongan undian terbabit adalah mengikut ahli Parlimen.

“Bila pergi keseluruhan belanjawan, adakah ia meyakinkan ahli dewan untuk menyokong.

“Itu terpulang pada individu. Jadi tidak usah nak cakap. Tunggu esok (hari ini). Apa-apa boleh terjadi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Terdahulu, dua pemimpin politik veteran negara iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah membayangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bakal hilang majoriti melalui undian Belanjawan 2021 yang dibentangkan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat.

Berikutan itu, kedua-dua mereka buat pertama kali secara terbuka menyatakan kesepakatan untuk bekerjasama membantu memulihkan semula keadaan negara yang disifatkan telah lari dari landasan sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan berisiko tumbang esok: Dr Mahathir

Abdullah Sani yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, bacaan kali ketiga itu berbeza dengan kemenangan yang diperoleh kerajaan di peringkat dasar dan jawatankuasa.

Artikel Berkaitan:

“Bukan masalah majoriti. Peraturan mesyuarat ada tiga 3 fasal. Fasal pertama peringkat dasar.

"Bila dasar itu disokong, kena melalui proses yang kedua iaitu fasal jawatankuasa. Itu peringkat kedua. Keseluruhannya sekali, baru bacaan kali ketiga,” katanya.

Abdullah Sani menambah, sekiranya belanjawan terbabit ditolak, ia turut bermakna kerajaan tidak mempunyai kekuatan.