Negara maju bukan ambil kesempatan jual vaksin Covid-19

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai perlu mengubah persepsi yang mengatakan bahawa negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, China dan Rusia mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan penghasilan vaksin virus pembunuh, Covid-19.

Timbalan Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon sebaliknya berkata, empat negara maju itu mempunyai kapasiti dan disokong dengan teknologi perubatan serta kemampuan penyelidikan terbaik dalam usaha menghasilkan vaksin yang ditunggu-tunggu oleh semua negara.

Malah katanya, penghasilan Covid-19 itu juga memakan perbelanjaan yang tinggi maka tidak menjadi kesalahan buat negara pencipta vaksin menjadikan produk itu sebagai alat perniagaan.

"Memang itu objektifnya (perniagaan). Negara yang ada kapasiti untuk menghasilkan vaksin akan menonjol. Dalam soal ini, sebagai contohnya China antara negara yang mampu menghasilkan dos vaksin Covid-19. Mereka ke hadapan dan cuba hasilkan vaksin terbaik.

"Namun perkara penting harus diingat, penghasilan vaksin bukanlah perkara yang mudah dengan kosnya yang agak tinggi di samping memerlukan kajian terperinci," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Rohaizat menambah, Malaysia sebagai negara yang memerlukan vaksin berkenaan, perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar kerana penghasilan vaksin itu bukanlah bersifat program khidmat masyarakat (CSR).

Rohaizat Yon
Rohaizat Yon

"Lagipun mereka (pihak yang menghasilkan vaksin) bukan buat kerja-kerja CSR. Ini kerana penghasilan dos vaksin itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Artikel Berkaitan:

"Mahu tidak mahu, kita perlu bersedia untuk membela vaksin dari negara luar memandangkan kita juga antara negara yang tidak mampu menghasilkan vaksin sendiri.

"Oleh itu, kita perlu akur sebuah negara yang kaya-raya dan membangun akan berlumba-lumba menghasilkan dos vaksin yang dicari itu bagi mendapatkan sumber kewangan," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 November lalu berkata, Malaysia bakal menerima sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia pada tahun depan.

Katanya, kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer pada 24 November lalu untuk mendapatkan bekalan vaksin tersebut.

Jelasnya, perjanjian itu bertujuan untuk memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan di samping menjamin akses kepada vaksin tersebut sekiranya sedia untuk diedarkan oleh pihak syarikat tersebut.

No Image Caption