Sathia dilantik Pengarah Teknikal Sarawak United

B Sathianathan
B Sathianathan
A
A
A

JURULATIH berpengalaman, B Sathianathan sah dilantik sebagai Pengarah Teknikal Sarawak United bagi tempoh dua tahun bermula 2021.

Sathianathan berkata, beliau bersetuju menyertai Sarawak United selepas tertarik dengan perancangan Presiden pasukan berkenaan Datuk Posa Majais, yang mahu memastikan pasukan berkenaan layak ke saingan Liga Super 2022.

Beliau juga tertarik dengan program memperkasakan pembangunan pemain-pemain muda dalam pasukan berkenaan, termasuk skuad Piala Belia (Bawah 19 tahun) dan Piala Presiden (Bawah 21 tahun).

Bekas pengendali kebangsaan itu memaklumkan, beliau akan memulakan tugas rasmi bersama Sarawak United pada Januari 2021.

"Saya tertarik dengan projek yang mereka rancang, dan ia menepati perancangan yang saya mahukan, selain pihak penaja yang berminat menjadi rakan kongsi dengan Sarawak United.

"Perancangan mereka nak melihat Sarawak kembali ke era kegemilangan pada 1990-an di mana pasukan berkenaan telah meraih pelbagai kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sarawak pernah muncul juara Liga Premier pada 1997 dan 2013, selain menjuarai Piala FA pada 1992 dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 1998.

Mengulas lanjut, Sathianathan memaklumkan, beliau telah diberi kuasa penuh oleh Posa untuk memperkasakan program pembangunan pasukan berkenaan, manakala tugas mengendalikan skuad Liga Premier Sarawak United akan terus digalas oleh E.Elavarasan yang dilantik sebagai ketua jurulatih pada musim lepas.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengendali berusia 62 tahun itu mengakui, cabaran terbesar adalah penyediaan fasiliti terbaik untuk program pembangunan bola sepak di negeri berkenaan, selain mengumpulkan kembali anak jati Sarawak untuk kembali berbakti dengan pasukan berkenaan pada masa akan datang.

"Kita bukan sahaja perlu melihat daripada prestasi permainan, tetapi juga logistik yang memainkan peranan penting seperti padang (yang berkualiti), selain kemudahan-kemudahan bola sepak yang lain.

"Saya tidak pergi ke Sarawak lagi, namun banyak berhubung wakil-wakil di sana selain kawan saya yang berasal dari Sarawak bagi membantu saya mengenal pasti kemudahan-kemudahan yang perlu diperbaiki untuk memudahkan barisan kejurulatihan melatih skuad masing-masing,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan pada 2010, 2012 dan 2017.

Antara pencapaian terbaik Sathianathan selaku jurulatih adalah membimbing Kelantan muncul juara Piala Malaysia pada 2010, selain membantu Angkatan Tentera Malaysia dan Felda United muncul juara Liga Premier, masing-masing pada 2012 dan 2018. - Bernama