Pemimpin diminta jangan sakiti hati rakyat

No Image Caption
A
A
A

SEPANJANG tahun ini, akibat Covid-19, ramai daripada kita tentu rasanya tidak senang duduk. Ia sememangnya mimpi ngeri yang sukar dilupakan sampai bila-bila.

Sedang hidup makin sukar dan mencabar, perasaan pula makin bercelaru apabila melihat gelagat ahli-ahli politik kita sejak kebelakangan ini.

Mereka yang digelar Yang Berhormat pula lebih banyak berpolitik dan bersandiwara. Mereka tidak mendahulukan kepentingan rakyat tetapi pangkat dan wang ringgit.

Selain orang politik yang tidak berjiwa rakyat, satu lagi jenis golongan orang politik adalah cakap tidak pernah fikir akibat sama ada boleh bawa faedah kepada rakyat atau tidak.

Barangkali kerana tidak mahu rakyat hidup susah, seorang pemimpin muda berpangkat Timbalan Menteri meminta Bank Negara mencetak lebih banyak wang kertas bagi diagihkan kepada rakyat untuk dibelanjakan.

Teorinya itu akhirnya menerima kecaman daripada pakar ekonomi, malah netizen di alam maya.

Belum reda isu cetak wang kertas, satu lagi kenyataan yang kurang masuk akal mencuit perhatian ramai minggu lalu. Kali ini datang daripada seorang Menteri Besar.

Ketika ingin menyelar pihak lawan, Menteri Besar itu memberikan perumpaan ‘mabuk todi’ kerana mendakwa mereka hanya mahu menjadi jaguh kaum dalam isu kuil yang dirobohkan.

Artikel Berkaitan:

Sebagai ketua kerajaan negeri, Menteri Besar itu seharusnya lebih cermat ketika bercakap sesuatu isu demi menjaga sensitiviti kaum lain.

Rakyat ada mata melihat dan telinga mendengar bagi menilai kewibawaan seseorang pemimpin. Apakah pemimpin benar-benar berjiwa rakyat? Apakah pemimpin itu sebenarnya tidak layak pun bergelar wakil rakyat?

Pemimpin-pemimpin yang tidak mencerminkan watak seorang pemimpin lebih baik berundur. Mereka hanya tahu menyakiti hati orang sahaja.