KKM pertimbang tempoh 10 hari untuk yang sedang dikuarantin

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian selama 10 hari akan dipertimbangkan bagi mereka yang sedang menjalani kuarantin pada masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan ujian saringan ke atas mereka pada hari kelapan dan kesembilan kuarantin.

"Mereka yang sedang menjalani kuarantin akan juga dipertimbangkan untuk kita kuarantin selama 10 hari sahaja. Kita juga akan menjalankan ujian (saringan) pada hari kelapan dan kesembilan. (Sekiranya) ujian negatif, baru (kita) lepas (mereka) pada hari ke-10,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengurangan tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta tempoh pengurusan kontak rapat di Malaysia daripada 14 hari kepada 10 hari yang berkuat kuasa hari ini, turut terpakai bagi mereka yang sedang menjalani tempoh kuarantin.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, nilai kadar kebolehjangkitan atau r-naught bagi tempoh 12 September sehingga 15 Disember berjaya diturunkan kepada nilai 1.1, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kita mula dengan r-naught 2.2. Kalau tidak ada PKPB, (seramai) empat juta penduduk akan dijangkiti. Tetapi PKPB berjaya turunkan kadar kebolehjangkitan kepada nilai 1.1,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, definisi 'kontak rapat’ yang digunakan ketika ini adalah berdasarkan kepada definisi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagaimanapun, menurutnya, Kementerian Kesihatan akan mengkaji definisi itu dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

“Kontak rapat ditakrifkan di Malaysia sebagai pendedahan yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan tanpa perlindungan PPE, termasuk membekalkan penjagaan terus bagi pesakit Covid-19, bekerja dengan petugas penjagaan kesihatan yang dijangkiti virus Covid-19, melawat pesakit atau tinggal dalam persekitaran tertutup yang sama dengan pesakit, bekerja bersama dalam kedudukan yang hampir atau berkongsi persekitaran bilik yang sama dengan pesakit Covid-19.

"Namun begitu, pihak kementerian akan menyemak definisi itu daripada masa ke semasa. Ini adalah definisi yang kita guna pakai daripada WHO,” katanya. - Bernama