Pangkalan data pantau rakyat Malaysia diberhentikan kerja di Singapura

Dianggarkan 15,346 rakyat Malaysia di Singapura telah diberhentikan kerja sehingga hari ini. (Gambar kecil: M Saravanan)
Dianggarkan 15,346 rakyat Malaysia di Singapura telah diberhentikan kerja sehingga hari ini. (Gambar kecil: M Saravanan)
A
A
A

PUTRAJAYA - Satu pangkalan data yang komprehensif mengenai pekerja Malaysia di Singapura akan dibangunkan bagi memantau perkembangan mereka yang diberhentikan kerja di Singapura, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Pangkalan data itu akan dibangunkan oleh Pasukan Petugas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM) Datuk Jamil Rakon, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan statistik yang diterima oleh KSM, dianggarkan 15,346 rakyat Malaysia di Singapura telah diberhentikan kerja sehingga hari ini.

Menurut Saravanan, seramai 802 rakyat Malaysia yang diberhentikan kerja di Singapura telah berdaftar dengan portal MYFutureJobs sehingga 7 Disember lepas dan daripada jumlah itu, 195 orang telah kembali bekerja, katanya.

Beliau berkata, KSM menerusi agensinya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menganjurkan Karnival PenjanaKerjaya Johor 2020 khas untuk rakyat Malaysia yang telah diberhentikan kerja di Singapura bermula hari ini sehingga 16 Disember ini secara dalam talian yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pagi tadi.

Sebanyak 30 majikan menyertai karnival itu dengan lebih 1,500 jawatan kosong ditawarkan, katanya.

"Saya menggesa semua rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura untuk hadir ke mana-mana pejabat Perkeso bagi mendapatkan bantuan carian pekerjaan melalui MYFutureJobs iaitu portal pekerjaan negara," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: