Nilai komersial sejarah ketenteraan

A
A
A

DISEBABKAN tidak bijak mengkomersialkan lokasi-lokasi bersejarah tinggalan Perang Dunia Kedua, negara tidak dapat menjana sumber ekonomi yang sepatutnya boleh diperoleh menerusi segmen pelancongan sejarah ketenteraan.

Amat merugikan apabila nilai Perang Dunia Kedua di Malaysia atau ‘Malayan Campaign’ yang dipandang hebat dalam kalangan pengkaji barat gagal dimanfaatkan bagi industri pelancongan. Ia adalah sejarah besar kerana buat pertama kali Empayar British tewas kepada negara kerdil.

Perang Pasifik misalnya, bermula di Kota Bharu pada 8 Disember 1941 susulan serangan pantai tentera Imperial Jepun mendahului satu jam awal berbanding serangan udara mereka ke atas Pearl Harbour.

Namun, tidak banyak tinggalan perang seperti kubu konkrit yang masih wujud, jika ada pula kebanyakannya terbiar atau ditelan ombak.

Walaupun Bank Kerapu di Kota Bharu yang dijadikan Memorial Perang Dunia Kedua sejak tahun 1992 menyimpan dan mempamerkan beberapa artifak tinggalan perang itu tetapi ia tidak cukup gah jika nilai sejarah pertempuran tersebut diukur dari sudut komersial.

Mujurlah bekas tapak pasukan meriam pantai British di Bukit Batu Maung, Pulau Pinang dijadikan muzium perang oleh pihak swasta walaupun pernah berhadapan cadangan untuk dimajukan sebagai kawasan perumahan.

Berbanding Memorial Perang Dunia Kedua di Pearl Harbour, Hawaii, ia antara lokasi tarikan utama pelancong ke pulau peranginan itu. Sejak dibina pada tahun 1962, memorial itu menerima kira-kira dua juta pelawat setahun.

Terdapat Memorial USS Arizona iaitu salah sebuah kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang ditenggelamkan pesawat udara Jepun di mana seramai 1,102 anak kapalnya bersemadi. Begitu juga pantai Normany di Perancis yang menjadi tumpuan pengunjung dan peminat sejarah serata dunia untuk melawat setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

Pantai itu menjadi lokasi pendaratan kira-kira 150,000 tentera berikat diketuai AS semasa kempen membebaskan Eropah daripada tentera Nazi pada 6 Jun 1944. Tinggalan perang seperti kubu pertahanan termasuk rumah penduduk dipelihara dengan baik. Pelbagai upacara diadakan di situ untuk mengenang pengorbanan tentera kedua-dua belah pihak.

Muzium pertama di Normandy hanya didirikan lima tahun selepas tamatnya Perang Dunia Kedua menerusi inisiatif penduduk tempatan yang dipelopori oleh kumpulan pengumpul barang tinggalan peperangan tersebut.

Normandy juga menjadi tempat persemadian kira-kira 9,300 tentera AS, Britain (22,000) dan Jerman (21,000). Difahamkan, kira-kira lima juta pelancong berkunjung ke lokasi bersejarah itu setiap tahun.

Tidak perlu menoleh jauh.Inisiatif Singapura mengabadikan keperwiraan Leftenan Muda Adnan Saidi dan Rejimen Askar Melayu pada sebuah memorial sehingga dikomersialkan sebagai tarikan pelancongan sepatutnya sudah lama kita dicontohi.

Memorial Perang Dunia Kedua yang dikenali sebagai Refleksi di Bukit Chandu merakamkan peristiwa semasa Pertempuran Pasir Panjang yang merupakan antara pertempuran hebat tentera Jepun untuk menawan Singapura pada Perang Dunia Kedua.

Pertempuran akhir di Bukit Chandu melibatkan 42 saki baki anggota Kompeni C Batalion Pertama Askar Melayu diketuai Adnan pada 13 hingga 14 Februari 1942 menjadi titik hitam kejatuhan Singapura ke tangan kuasa asing.

Memorial yang merupakan sebuah banglo kolonial itu dibangunkan oleh Badan Warisan Kebangsaan Singapura pada tahun 2002 dikunjungi kira-kira 50,000 pelawat setahun.

Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu banyak memberi kesan besar kepada rakyat dan negara. Naratif tinggalan perang itu bukan hanya sekadar pada mata wang pokok pisang atau cerita-cerita mulut jika tidak dikomersialkan, selain memulihara nilai sejarahnya.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu