X

Kindly register in order to view this article
!

Majikan perlu lebih prihatin

A
A

SUKAR untuk mengelak kehadiran pekerja asing di Malaysia. Mereka diperlukan khususnya dalam sektor perindustrian, perladangan dan pembinaan akibat ketandusan pekerja tempatan.

Majoriti pekerja asing yang datang bekerja di Malaysia adalah golongan muda yang kebanyakannya sihat dan tidak mempunyai penyakit kronik. Namun, ia bukan jaminan mutlak mereka tidak akan dijangkiti Covid-19.

Natijahnya, hampir 80 peratus warga asing yang positif Covid-19 dikesan tidak bergejala, sekali gus menyukarkan mereka untuk menyedari bahawa mereka telah dijangkiti.

Perkembangan terkini menunjukkan pekerja warga asing adalah penyumbang kes tertinggi Covid-19. Peningkatan jumlah kes baharu dalam kalangan mereka disebabkan aktiviti pengesanan aktif dan saringan berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kilang dan tapak binaan bermula pada 1 Disember lalu.

Kerajaan sedar risiko penularan Covid-19 kepada komuniti jika langkah memperketatkan pemantauan dan kawalan jangkitan ke atas pekerja warga asing tidak dilaksanakan segera. Susulan merebaknya jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang Top Glove, kerajaan mengarahkan semua pekerja warga asing menjalani saringan.

Tenaga kerja adalah aset berharga bagi sesebuah organisasi termasuk pekerja bukan warganegara. Majikan yang prihatin sentiasa memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja terjamin. Justeru, majikan harus memberikan kemudahan tempat tinggal dan keperluan asasi untuk kesejahteraan kesihatan pekerja asing seperti yang dinyatakan dalam pindaan pada Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Akta itu mensyaratkan hanya enam pekerja dibenarkan tinggal bersama dalam sebuah rumah berkeluasan 850 kaki persegi. Bagi majikan yang gagal mematuhinya, mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 bagi setiap pekerja.

Terdapat beberapa faktor menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja asing, misalnya tempat penginapan, kebersihan kendiri dan persekitaran di tempat tinggal serta tempat kerja. Lazimnya, punca jangkitan atau penularan disebabkan kesesakan dalam tempat tinggal.

Sempit

Kebanyakan kontraktor pembinaan hanya menyediakan rumah kongsi jenis pangsa, kontena atau pondok kecil tanpa sistem kebersihan yang rapi. Sesetengah rumah kongsi didiami sehingga 40 orang pekerja. Keadaan itu menjadi punca Covid-19 menular dan berjangkit dengan cepat.

Malah, terdapat mereka yang tinggal serumah bekerja dalam sektor berlainan, seorang mungkin bekerja di pasar borong dan seorang lagi di tapak pembinaan yang menyebabkan jangkitan semakin meluas.

Disebabkan risiko yang tinggi, majikan harus memastikan pekerja asing mereka bebas Covid-19 sebelum dibenarkan keluar bekerja kerana KKM hanya akan bertindak termasuk menjalankan pengesanan kontak jika ada kes positif dilaporkan. Ketika itu mungkin sudah terlewat.

Majikan digesa memainkan peranan lebih besar dan turut sama menanganinya, bukan sekadar mementingkan keuntungan semata-mata. Majikan dan pekerja harus bekerjasama memastikan persekitaran tempat kerja serta kawasan guna sama, misalnya tandas, dapur dan pantri dalam keadaan bersih bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Dalam jangka masa panjang, selagi pandemik Covid-19 belum berakhir, majikan perlu memberi pendidikan secara berterusan kepada pekerja mengenai amalan kebersihan kendiri, persekitaran di tempat kerja dan tempat tinggal serta langkah pencegahan.

Majikan disaran menyediakan penginapan kondusif untuk memastikan penjarakkan fizikal diamalkan, memantau dan memastikan amalan pencegahan jangkitan dipraktikkan di tempat kerja dan tempat penginapan dalam usaha mengekang penularan dan menurunkan jumlah kes harian yang tinggi dalam kalangan pekerja asing ketika ini.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!