Adakah saya boleh tuduh PH rompak RM2.7 bilion, soal Najib

Najib
Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoalkan adakah beliau boleh menuduh Pakatan Harapan (PH) telah merompak wang RM2.7 bilion susulan penambahan hutang milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Beliau berkata, PH sebelum ini telah menuduh pihaknya merompak RM8 bilion semasa menjadi perdana menteri.

“Hari ini, Menteri Perikatan Nasional (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) pula kata hutang Felda telah cecah RM10.7 bilion iaitu penambahan RM2.7 bilion dalam masa dua tahun.

“Mengikut logik PH dahulu, siapakah yang jahanamkan Felda dengan penambahan hutang sebanyak RM2.7 bilion dalam tempoh dua tahun lepas?,” katanya menerusi Facebook miliknya pada Isnin.

Pada Rabu lalu, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan Felda ketika ini sedang mengalami masalah aliran tunai yang amat kritikal akibat kelemahan dalam tadbir urus korporat dan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, hutang Felda berjumlah RM8.025 bilion merupakan legasi kepimpinan terdahulu berikutan terlalu banyak campur tangan politik dalam urus tadbir.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Felda terpaksa membuat pinjaman dan menanggung hutang mencecah RM10.7 bilion bagi memastikan operasi harian berjalan, susulan masalah kewangan sejak 2013.

Mengulas lanjut, Najib turut menyatakan pihaknya pelik dengan aset yang didakwa dijual untuk mengurangkan hutang tetapi hutang milik Felda bertambah.

Artikel Berkaitan:

“Paling pelik ialah aset Felda dijual kononnya untuk kurangkan hutang RM8 bilion tapi hutang bertambah RM2.7 bilion lagi menjadi RM10.7 bilion selepas aset dijual pulak.

“Matematik apa ini?” soalnya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mempersoalkan dakwaan dibuat PH pada 2019 bahawa gabungan itu telah menyelamatkan Felda dengan menyuntik RM6.23 bilion.

“Lepas itu, PH buat propaganda mereka telah selamatkan Felda.

“Jadi, setelah suntik RM6.23 bilion (dan banyak menjual aset) untuk selamatkan hutang RM8 bilion, hutang Felda naik lagi ke RM10.7 bilion ke?” soalnya.