1,371 kes baharu Covid-19, empat kematian hari ini

Dr NOOR HISHAM
Dr NOOR HISHAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes baharu positif Covid-19 di negara ini terus mencatat empat angka dengan 1,371 kes selain merekodkan empat kematian baharu dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 84,846 kes, dengan kes aktif sebanyak 13,830.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala baki 1,370 kes adalah penularan dalam negara.

“Selangor masih kekal melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 532 kes (38.8 peratus) di mana 420 kes (78.9 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19, yang giat dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 283 kes (20.6 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 260 kes (19.0 peratus),” katanya di dalam sidang media berkenaan Covid-19 di Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada 532 kes yang dilaporkan di Selangor, 311 kes adalah daripada kluster-kluster, termasuk lapan kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Solar Ria, 109 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19, satu kes import dari luar negara, dan 111 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

Manakala, di Sabah, sebanyak 65 kes adalah daripada kluster-kluster sedia ada, 155 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan 63 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

“Negeri Sembilan mencatatkan 260 kes iaitu 252 kes daripada kluster-kluster sedia ada, satu kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan tujuh kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Di Kuala Lumpur pula melaporkan sebanyak 124 kes iaitu 76 kes daripada kluster-kluster termasuk lima kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Senu Setia, 15 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan 33 kes daripada lain-lain saringan Covid-19,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 62 kes pula dilaporkan di Perak di mana 58 kes adalah daripada kluster-kluster sedia ada, dan empat kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

Beliau berkata, Johor pula mencatatkan sebanyak 45 kes iaitu 17 kes daripada kluster-kluster sedia ada, 18 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan 10 kes daripada lain-lain saringan Covid-19. Di Pulau Pinang pula, sebanyak 31 kes dilaporkan yang mana tiga kes daripada kluster-kluster sedia ada, 19 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan sembilan kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

“Labuan pula mencatatkan 16 kes iaitu lapan kes daripada kluster sedia ada dan lapan lagi kes daripada lain-lain saringan Covid-19, manakala Terengganu pula sembilan kes daripada kluster sedia ada.

“Lima kes dicatatkan di Kedah, iaitu empat kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan satu kes daripada lain-lain saringan Covid-19, manakala di Kelantan dua kes adalah daripada lain-lain saringan Covid-19,” katanya.

Di Melaka, satu kes dicatatkan iaitu daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19, manakala Putrajaya, juga satu kes daripada lain-lain saringan Covid-19. Tambah beliau, sebanyak 72 kes (5.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara, yang membabitkan Kluster Tembok (48 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (22 kes), dan masing-masing satu kes bagi Kluster Matambai dan Kluster Penjara Kepayan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, bilangan kes sembuh hari ini mencatatkan sebanyak 1,204 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 70,597 kes (83.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Katanya, pada masa ini terdapat 114 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 62 memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, empat kematian hari ini melibatkan tiga wanita tempatan dan seorang lelaki bukan warganegara, yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 419 kes, iaitu 0.49 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Mereka yang meninggal dunia adalah wanita berusia 40 tahun di Labuan, yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan wanita berusia 50 tahun di Perak, yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, dan dislipidemia.

“Dua lagi adalah seorang wanita 46 tahun di Sabah, yang menghidap penyakit darah tinggi, dislipidemia dan obesiti, serta seorang lelaki bukan warganegara di Sabah,” katanya. - Bernama