TickTalkTV platform digital gerakan anak muda dekati al-Quran, Sunnah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - “TickTalkTV menjadi gerakan golongan anak muda atas platform digital bersama sokongan ibu bapa di belakang tabir untuk mendapatkan solusi kehidupan dengan bimbingan al-Quran dan hadis.”

Demikian kata Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub ketika berkongsi hasratnya bersama krew TickTalkTV di Kumpulan Karangkraf di sini baru-baru ini.

Datuk Dr Hussamuddin Yaacub
Datuk Dr Hussamuddin Yaacub

Beliau mengajak seramai mungkin anak muda daripada pelbagai latar belakang untuk bergabung atas rasa kebersamaan di platform TickTalkTV sebagai tempat luahan hati, rintihan dan berkongsi permasalahan.

“Para asatizah membantu untuk merungkaikan permasalahan mereka dengan berpandukan al-Quran dan sunnah.

"Jawapan tersebut boleh dikongsi dengan orang ramai untuk menjadi rujukan terhadap masalah berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, pihaknya berhasrat mahu membantu anak muda dalam memfokuskan pembinaan jiwa, karakter dan kerangka fikir dengan berpandukan al-Quran dan hadis melalui program Tick Surah Talk Santun.

Artikel Berkaitan:

 Marhaini Yusoff
Marhaini Yusoff

“Walaupun pelbagai program #QuranHour dianjurkan seperti World #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan My #QuranTime, namun masih terdapat kelompongan bagi golongan berusia antara 20 hingga 35 tahun.

“Apabila berlaku perubahan hidup norma baharu, ramai yang semakin tertekan. Melalui platform Tick Surah Talk Santun, kita gerakkan gelombang agar ibu bapa mendoakan anak dengan berpandukan surah al-Furqan dan anak beristighfar sebagaimana disebut dalam hadis qudsi bahawa ALLAH SWT akan mengangkat martabat ibu bapa di syurga," katanya.

Menurutnya, TickTalkTV yang bersiaran di platform YouTube setiap Sabtu pada jam 9 malam telah melancarkan TickTalk Antarabangsa dengan berkolaboratif bersama anak muda di Brunei dan Indonesia.

Katanya, WUIF turut melancarkan TickTalk Moms untuk golongan ibu dalam berkongsi keprihatinan mereka terhadap anak muda baru-baru ini.

"Mereka merupakan kumpulan sokongan. Selepas ini diharapkan lebih ramai bapa sertai untuk TickTalk Dads," katanya.

Beliau berkata, Tick Surah Talk Santun merupakan program digital di bawah kempen #SavingFamilies dengan misi Masuk Syurga Sekeluarga.

Menurutnya, program tersebut diharapkan dapat membantu anak muda dan remaja untuk lebih memahami al-Quran dan Sunnah sebagai solusi dalam kehidupan mereka.

Untuk menonton Tick Surah Talk Santun Suara Remaja Milenia pada setiap Sabtu, jam 9 malam, sila ikuti dan Like TickTalkTV di Facebook, Instagram, YouTube dan Twitter.