PGA catat rampasan 1.8 juta dalam tempoh empat hari

Kasuahdi (depan dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang berjaya ditumpaskan pada sidang akhbar di IPD Kuala Selangor di sini hari ini.
Kasuahdi (depan dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang berjaya ditumpaskan pada sidang akhbar di IPD Kuala Selangor di sini hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah mencatat kejayaan terbesar menerusi Ops Benteng Covid-19 apabila nilai rampasan mencecah RM1.8 juta dalam tempoh empat hari operasi itu sepanjang Disember ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PGA, Datuk Kasuahdi Ali berkata, jumlah berkenaan membabitkan tiga serbuan oleh Batalion 4 PGA Semenyih dan PGA Briged Tengah.

Menurutnya, Sabtu lepas PGA Semenyih menumpaskan pengedaran rokok seludup dianggar bernilai RM875, 000 di Jalan Kilang Padi, Tanjung Karang, Selangor

Anggota PGA menahan seorang suspek berusia 38 tahun dan merampas 4,900 karton yang keseluruhannya mengandungi 600,000 batang rokok.

"Dua kenderaan iaitu sebuah lori Mitsubishi dan sebuah kereta jenis Toyota Altis juga disita," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini hari ini.

Kasuahdi berkata, susulan penahan suspek, polis berjaya memberkas seorang lagi individu berusia 40-an di sekitar Tanjong Karang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penyeludupan rokok," katanya.

Beliau memberitahu, rokok seludup itu dipercayai dipasarkan di sekitar kawasan Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Klang Selatan.

"Kita percaya rokok ini mendapat permintaan tinggi kerana harganya jauh lebih murah berbanding rokok bercukai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Kasuah berkata, PGA Tengah pula merampas sebanyak 10,800 tin minuman keras dan menyita sebuah lori Hino di Kajang kira-kira jam 1.30 petang hari yang sama.

Beliau berkata, anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM481,030.

Menurutnya, PGA Tengah juga sebelum ini turut merampas 750 kotak membabitkan 18,000 tin minuman keras dan menyita sebuah lori Hino dalam serbuan di Selayang, Gombak pada jam 4 petang, 9 Disember lalu.

"Nilai kesemua rampasan RM385, 156 dan minuman berkenaan dipercayai untuk pasaran sekitar daerah Gombak dan Kajang," katanya.

Tegas beliau, seramai empat suspek berusia lingkungan 24 hingga 48 tahun ditahan dalam tiga serbuan itu

"Empat suspek terbabit ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967," katanya.